KUALA LUMPUR, 12 OKT: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM95 juta bagi pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan antaranya termasuk di Hospital Pontian.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam.
“Sejajar dengan prinsip budaya Memperbaiki, Mengganti dan Memulihkan (3R – Repair, Replace and Restore) sebanyak RM227 juta disediakan untuk menaik taraf peralatan perubatan.
“Manakala RM95 juta untuk pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan seperti di Hospital Pontian,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Terdahulu kata Guan Eng, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion untuk membina hospital baharu dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada.
Ini termasuk di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kampar, Hospital Labuan dan Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth II di Sabah.
Manakala sebanyak RM319 juta untuk membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters.
“Untuk itu, klinik baharu akan dibina di Setiu, Sungai Petani dan Cameron Highlands serta Kudat dan Tawau di Sabah, dan Long San dan Sungai Simunjan di Sarawak,” kata Guan Eng.
Johorkini