BM | EN | 中文

‘Saya tak kisah nombor telefon diketahui umum’ – Ketua Polis Johor

ayob-khan-polis-johor-1.jpg

Gambar Ehsan Polis Johor

Advertisement

JOHOR BAHRU, 7 OKT: Maklumat awam yang disalurkan penduduk setempat menerusi aplikasi WhatsApp atau surat layang secara terus kepada Ketua Polis Johor membawa kepada kejayaan polis membanteras pelbagai kegiatan jenayah.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau tidak kisah nombor peribadinya diketahui ramai selain dihujani mesej yang dihantar individu tidak dikenali dengan pelbagai maklumat dan pemerhatian terhadap aktiviti yang berlaku di sekeliling mereka.

Katanya, setiap maklumat yang diterima itu akan diselidiki dan diberi perhatian oleh beliau sebelum tindakan diambil menerusi ketua polis daerah termasuk mengadakan intipan dan serbuan.

Advertisement

“Saya tak kisah berkongsi nombor telefon di media sosial kerana dari situlah saya dapat banyak maklumat. Ada yang tak suka kongsi, tak suka buat begitu kerana mengganggu privasi tetapi bagi saya itu bukan masalah besar.

“Sebagai contoh, dua hari lalu seorang individu menghantar mesej beritahu ada sebuah kelab malam di kawasan Johor Bahru Selatan yang buat bising hingga mengganggu ketenteraman.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, terdapat kelab malam sedang beroperasi dan seramai 26 pengunjung sedang berhibur. Kompaun sebanyak RM150,000 dikenakan kerana langgar prosedur operasi standard ( SOP),” katanya, lapor Utusan Online.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog Program Mengukuh Integriti dan Menangani Rasuah Dalam Penjawat Awam di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor yang turut disertai Pengarahnya, Datuk Sawalludin Ahmad, hari ini.

Dalam majlis itu, LPP Johor turut menyampaikan sumbangan kotak makanan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Program MAFI Prihatin kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top