“SAYA REDHA DENGAN KEPUTUSAN, AKAN TERUS BERJUANG” – KARMAINE
Karmaine ketika ditemubual pengamal media

“SAYA REDHA DENGAN KEPUTUSAN, AKAN TERUS BERJUANG” – KARMAINE

PONTIAN, 16 NOV: Calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini redha dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang diumumkan sebentar tadi.

“Saya redha dengan keputusan. Orang Tanjung Piai dah buat pilihan, kita kena terima,” Karmaine ketika ditemui wartawan di hadapan Bilik Gerakan Utama (BGU) PH di Eco Rambah, di sini, sebentar tadi.

Namun kata Karmaine, pihaknya akan membuat siasatan dan analisa berhubung keputusan tersebut, terutamanya berhubung majoriti undi kepada Barisan Nasional (BN) yang meningkat.

Pengamal media merakamkan gambar kenangan bersama Karmaine 

“Kita akan buat analisa berkaitan dengan keputusan ini. Insya-Allah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perasaannya selepas keputusan malam ini, Karmaine yang memang murah dengan senyuman hanya tersenyum.

“Biasa sahaja,” jawabnya ringkas.

Dalam pada itu kata Karmaine, beliau masih mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai dan ketua PH parlimen sama.

“Saya masih lagi Ketua Bersatu Tanjung Piai dan ketua PH di Tanjung Piai.

“Saya masih lagi berada dalam parti dan akan terus berjuang,” katanya lagi.

BN memenangi PRK Tanjung Piai apabila calonnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) meraih 25,466 undi.

Karmaine pula memperoleh 10,380 undi, sementara calon Gerakan Wendy Subramaniam 1,707 dan calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dengan 850 undi.

Dua calon bebas Dr Ang Chun Lok mendapat 380 undi dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar 32 undi.

PRK Tanjung Piai adalah yang kesembilan diadakan semenjak PH memenangi PRU-14 pada Mei 2018.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )