PONTIAN, 14 NOV : “Sebarkan kepada penduduk Tanjung Piai, saya Perdana Menteri (PM) Kerajaan Pakatan Harapan (PH), demikian kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di Program bersama penduduk di Pekan Nanas, Pontian, pagi tadi.
Kenyataan itu susulan dari satu penipuan yang dibuat oleh pembangkang menunjukkan Dr Mahathir memakai baju warna biru sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
“Pesan kepada mereka yang masih ingat saya Presiden UMNO dan Pengerusi BN bahawa saya Pengerusi PH dan dipilih sebagai PM,” katanya
Tun Mahathir juga hairan terhadap parti lawan yang masih menggunakan simbol dacing dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
“Saya hairan kenapa calon lawan guna simbol dacing lagi. Dacing (BN) sudah tiada, MCA sudah setengah mati, MIC sudah tidak menyertai UMNO.
“Hanya tinggal 1/4 yang masih bersama UMNO. Jadi, kalau BN menang di Tanjung Piai, mereka tidak boleh buat apa-apa untuk masyarakat di sini.
“Jadi, adanya parti BN hanya satu penipuan kepada masyarakat Tanjung Piai,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, walaupun kerajaan PH baharu setahun setengah usianya, namun telah menunjukkan kebolehannya.
“Kerajaan sekarang ditinggalkan hutang oleh kerajaan BN dulu, tetapi masih boleh membantu rakyat melalui dasar kemakmuran bersama.
“Jurang kekayaan antara orang bandar dan luar bandar akan dikurangkan melalui dasar ini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan bertukar wajah dan tidak lagi bergantung dengan getah dan kelapa sawit sahaja.
“Kita akan memakmurkan industri pertanian supaya RM6.5 bilion nilai import sayuran dan buah-buahan dapat dikurangkan.
“Dalam waktu yang sama, petani dan pekebun luar bandar dapat dimajukan melalui usaha kerajaan sekarang,” katanya lagi.
JohorKini