BM | EN | 中文

SAYA CALON UNTUK SEMUA KAUM:KARMAINE

IMG-20191103-WA0028.jpg

 

Oleh: Siti Nursyahidah Abu Bakar

PONTIAN, 3 NOV : Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini menegaskan beliau akan bekerja untuk semua kaum sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Katanya, seorang wakil rakyat yang bagus tidak boleh mewakili satu kaum tertentu saja.

“Saya calon untuk semua kaum. Sebagai wakil rakyat, kita kena kerja untuk semua kaum.

“Kalau untuk kaum tertentu saja itu bukan namanya wakil rakyat, itu wakil kelompok parti atau kaum tertentu,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di program walkabout bertemu penduduk di sekitar Pekan Nanas di sini hari ini.

Turut serta dalam kempen itu, Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pengundi bijak memilih calon yang boleh menjadi wakil rakyat kepada semua kaum dan bukannya kerana faktor Melayu.

Mengulas lanjut, Karmaine berkata, tidak ada konsep wakil rakyat untuk kaum tertentu diamalkan dalam pentadbiran di negara ini.


“Di Malaysia tak ada konsep macam itu sebenarnya. Konsep kita adalah untuk semua.

“Di Tanjung Piai kita dah ada satu Dun yang diwakili orang Cina. Jadi untuk Parlimen sudah tentu kita kena letakkan calon Melayu kerana kita parti kerajaan yang perintah ketika ini,” katanya.

Berkongsi mengenai kempen yang memasuki hari kedua, Karmaine berkata, beliau memfokuskan kepada bertemu dengan rakyat dan memperkenalkan diri.

“Mungkin ada yang dah tahu nama tapi tak kenal muka,” katanya.

Beliau juga mengakui terdapat perbezaan dengan kempen ketika bertanding di Parlimen Pontian pada PRU14.

“Ada perbezaan kerana dulu sebahagian saja yang kenal saya. Tetapi di Tanjung Piai, ramai yang kenal kerana saya berasal dari Teluk Kerang dan saya pun dah lama berkhidmat untuk masyarakat dan parti,” katanya.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top