BM | EN | 中文

SASTERA, SEJARAH DAN KEBUDAYAAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN JOHOR

Rosleli-e1568710310459.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 17 SEPT: Di dalam menghadapi arus kemodenan dan kemajuan, peranan kesusasteraan, kebudayaan dan penulisan sejarah adalah penting, seiring pembangunan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, usaha mengembangkan bidang sastera dan budaya berteraskan sejarah dan ideologi bangsa adalah usaha yang sihat dan perlu mendapat galakan.

“Sebagai langkah proaktif, pelbagai aktiviti dan pendedahan yang telah dan boleh dilaksanakan termasuk penyelidikan, penulisan, pameran, bengkel dan seminar berkisar tentang tokoh dan kepimpinan.

Advertisement

“Malah, kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) menganjurkan Anugerah Sastera Johor setiap dua tahun dengan mengangkat dan mengiktiraf karya berkualiti penulis-penulis Johor.

Dari kiri, Dr Hatta Shaharim, anak kepada Shaharom Husain di Pameran Gapura Sastera: Shaharom Husain

“Penganugerahan khas kepada Sasterawan Johor iaitu penulis mapan yang konsisten berkarya dengan kriteria yang telah ditetapkan, juga diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pameran Shaharom Husain: Gapura Sastera dan Kolaborasi Ilmiah di Muzium Tokoh Johor, di sini, hari ini.

Advertisement

Ucapan perasmian Mohd Khuzzan dibacakan Adun Johor Lama, Rosleli Jahari yang menjadi wakil rasmi.

Tambahnya, nilai sejarah yang terkandung dalam karya sastera dapat membantu masyarakat mendalami sejarah, menggali dan menyelongkar kehidupan manusia daripada pelbagai dimensi dan sudut pandang berbeza.

“Sesuatu yang dipaparkan dalam sastera adalah perkara yang berlaku dalam reailiti kehidupan manusia atau lebih dikenali sebagai semangat zaman.

Advertisement

“Lantaran itu, karya sastera bukan sahaja merakamkan sesuatu yang luar biasa, tetapi perkara biasa yang diolah semula dalam bentuk karya kreatif yang indah dan berlapis maknanya.

Justeru itu katanya, Pameran Gapura Sastera: Shaharom Husain akan menarik perhatian pengunjung, terutamanya peminat sastera, sejarah dan budaya.

“Ini kerana selain memaparkan riwayat hidup serta perjuangan Shaharom Husain dalam bidang sastera, sejarah dan budaya, ia juga mampu memberikan inspirasi kepada masyarakat.

Advertisement

“Mereka yang terbabit dalam kegiatan sastera, seni dan budaya ini bukanlah terasing daripada masyarakat.

“Malah setiap sumbangan mereka bermakna. Penulisan dan karya mereka tetap terus dibaca dan hidup sehingga kini,” katanya lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top