JOHOR BAHRU, 10 JUN: Kerajaan Johor disaran mencontohi mekanisme digunapakai kerajaan Selangor melalui inisiatif ujian saringan bersasar dengan tumpuan kepada kawasan perindustrian dan zon merah.
Adun Skudai, Tan Hong Pin berkata, makluman butiran ujian saringan perlu diperolehi bagi mengenalpasti pesakit tidak bergejala untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak.
“Keadaan kluster pembuatan masih pada tahap membimbangkan malah Johor Bahru masih dalam kategori merah dengan catatan kes positif yang tinggi.
“Saya menaruhkan keyakinan agar ujian saringan ini merupakan langkah awal terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak – pengesanan pesakit dan kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Hong Pin, penglibatan PBT di daerah Johor Bahru yang menempatkan banyak kawasan perindustrian amat tepat.
“Usaha seumpamanya juga perlu digembleng bagi membentuk imuniti kelompok di daerah Johor Bahru melalui proses vaksinasi yang bakal mengawal penularan wabak COVID-19, ujarnya lagi
Terdahulu beliau memaklumkan, pejabat Adun Skudai akan memberikan kerjasama erat dengan pihak kerajaan Johor bagi menjayakan inisiatif ujian saringan berkenaan secara menyeluruh.
Katanya, Inisiatif Ujian Saringan Bersasar yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di bawah Pakej Ransangan Ekonomi 3.0 hari ini dialu-alukan.
Johorkini