BM | EN | 中文

SAR DUA WARGA SINGAPURA DI MERSING MASUK HARI KELIMA

SAR-dua-warga-Singapura-di-Mersing-masuk-hari-kelima.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 13 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dan seorang wanita Singapura yang dilaporkan hilang ketika berkayak di perairan Endau dekat Mersing, Khamis lepas, memasuki hari kelima hari ini dengan penglibatan 122 anggota penyelamat pelbagai agensi.

Pengarah Malaysia Zon Mersing Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata operasi mencari Tan Eng Soon, 62, dan wanita, Puah Geok Tin, 57, di permukaan laut itu membabitkan penggunaan tiga aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan sebuah aset udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain itu, operasi turut membabitkan sembilan aset laut yang terdiri daripada sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebuah kapal APMM, tiga bot APMM, dua bot PDRM serta dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisement

Haris Fadzillah berkata kawasan pencarian menerusi udara adalah sama seperti semalam iaitu sehingga 900 batu nautika persegi dari perairan timur dan utara Pulau Tioman, Pahang dan tumpuan pencarian di laut turut melibatkan 600 batu nautika persegi dari timur Rompin sehingga utara Pulau Tioman.

Beliau berkata selain pencarian di permukaan laut yang turut dibantu nelayan dan penduduk di pulau berdekatan, SAR yang digerakkan pada 7 pagi tadi turut dipergiat di sekitar pesisir pantai.

“Penduduk pulau-pulau di kawasan kejadian itu juga akan memberikan maklumat jika terdapat sebarang penemuan di sekitar kawasan mereka seperti mana hebahan yang telah dilakukan,” katanya.

Advertisement

Khamis lepas, Tan dan Puah dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Semalam, SAR pada hari keempat melibatkan 104 anggota pelbagai agensi penyelamat sebelum pertambahan 18 anggota hari ini menjadikan keseluruhan 122 anggota terlibat dalam pencarian itu.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top