KOTA TINGGI, 19 JAN : Santuari Gajah Johor (JES), di sini dijangka akan dibuka kepada orang ramai sebagai produk ekopelancongan baru di daerah ini pada tahun depan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, mengikut perancangan projek berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan pada Jun tahun ini untuk memulakan operasi.
Katanya, penyerahan dilakukan selepas kemudahan asas disediakan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku agensi pelaksana projek dilengkapkan sepenuhnya.
“Persiapan lancar kami di perhilitan sedang membuat pengisian perabot, pengisian untuk kakitangan di sini.
“Kita akan buka kepada orang awam bila sudah bersedia sepenuhnya kerana sekarang ini orang kata rumah baru nak siap. Kakitangan yang ada juga kena berikan latihan.
“Kita jangkakan dalam tempoh setahun selepas mula operasi sudah boleh dibuka kepada orang ramai,” katanya kepada wartawan selepas mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal melakukan lawatan ke JES sempena siri lawatan ke daerah Kota Tinggi, hari ini.
Tambahnya, projek santuari berkenaan turut meliputi pembinaan sistem pagar elektirk gajah yang akan dibina sepanjang 13 kilometer untuk mengurangkan impak serangan gajah di kawasan selatan hutan Panti.
“Pagar ini akan sambung projek sedia ada di Kampung Mawai sehingga ke santuari. Ia akan meliputi bahagian selatan hutan Panti.
“Bermaksud kawasan kampung-kampung dan ladang-ladang di kawasan Panti dilindungi. Ia sekali gus mengurangkan impak serangan gajah,” katanya lagi.
Tambahnya, dengan adanya santuari itu masalah gajah dapat dikurangkan dalam masa sama ekopelancongan dan ekonomi penduduk juga dapat ditingkatkan seperti mana hasrat kerajaan negeri.
JohorKini