BM | EN | 中文

Sankyu Group labur RM100 juta bagi pusat latihan di Iskandar Puteri

Sankyu-HR-Japan-Iskandar-Puteri.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 JAN: Sankyu Group dijangka melabur RM100 juta bagi pembinaan Akademi Teknikal Sankyu, pusat latihan sumber manusia pertamanya di luar Jepun di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Medini, Iskandar Puteri.

Pengarah Urusan Sankyu Southeast Asia Holdings Junichi Matsumura berkata pusat itu akan dibina di tanah seluas 1.67 hektar dan dijangka mula beroperasi tahun depan.

“Malaysia terus menjadi hab strategik di rantau ini untuk Sankyu, dan ini terbukti melalui pelaburan kami yang berterusan dan pembangunan infrastruktur penting di negara ini,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis pecah tanah pusat itu di sini semalam.

Advertisement

Majlis pecah tanah itu dirasmikan dari jauh oleh Datuk Bandar Iskandar Puteri Datuk Salehuddin Hassan, disaksikan secara bersama oleh Pengerusi Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd (MIMSB) Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad, Matsumura dan Ketua MIMSB Mohamad Zamani Razali.

Acara itu diadakan melalui platform persidangan video berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, dan hanya kakitangan pembinaan dan operasi yang penting berada di lokasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata pusat latihan Sankyu di Malaysia akan menjadi syarikat pertama di Asia Tenggara.

Advertisement

Beliau berkata Malaysia terus menjadi pilihan strategik syarikat multinasional di rantau ini, berdasarkan peralihan dinamik negara kepada perkhidmatan dengan kualiti yang amat baik untuk menyokong dan mengembangkan ekonominya yang pelbagai.

“MIDA optimis pusat latihan ini akan memberi manfaat ekonomi yang positif dari segi mewujudkan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pengetahuan melalui latihan. Ini akan mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan dan vendor tempatan.

“MIDA akan terus menggalakkan kerjasama strategik antara syarikat asing dan tempatan untuk hasil yang saling memberi manfaat, memastikan ekosistem yang mampan untuk entiti perniagaan di negara ini, bukan hanya pada masa ini tetapi juga untuk masa depan,” katanya.

Advertisement

Mohamad Zamani berkata majlis pecah tanah itu menjadi pencapaian penting kepada Medini berikutan ia terus menarik ramai penyewa yang terkemuka.

“Sankyu adalah yang pertama daripada banyak pembangunan yang diusahakan oleh Medini di bawah Iskandar NEXT Initiative yang memberi tumpuan kepada ekonomi, pengalaman dan tenaga kerja baharu.

“Selain penempatan semula Kumpulan Prasarana Rakyat Sdn Bhd dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara baru-baru ini, kami optimis mengenai visi masa depan untuk CBD Medini menjadi hab strategik untuk Johor dan Malaysia,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top