JOHOR BAHRU, 9 OGOS: Tinjauan pihak berkuasa di Sungai Temon di sini, mendapati sungai tersebut dipenuhi dengan timbunan sampah, selain kawasan sekelilingnya dijadikan tapak pembuangan sampah haram, termasuk sisa bahan binaan.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata pihaknya segera meninjau lokasi Sungai Temon setelah menerima aduan dari penduduk setempat.
Beliau turut memanggil agensi-agensi berkaitan untuk turut serta dalam tinjauan tersebut termasuklah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kimia, Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
“Memang pihak kerajaan sangat risau akan keadaan kalau sekiranya berlaku sisa-sisa buangan yang bertoksik yang dibuang di kawasan ini akan mencemarkan anak sungai dan memberikan impak besar.
“Tapi apa yang kita nampak hari ini tiada sisa-sisa buangan toksik,” katanya, seperti dilaporkan SH Online.
Beliau yang juga Adun Jementah berkata, Sungai Temon terletak di berhampiran kawasan penempatan ratusan masyarakat Orang Asli Seletar itu mengalir ke Selat Tebrau (Selat Johor).
“Ini akan mencemarkan lagi sungai-sungai kita. Kita perlu menangani masalah ini. Sebab itu kita mengajak jabatan berkaitan untuk turut serta dalam tinjauan ini supaya kita boleh ada satu tindakan bersepadu untuk menyelesaikan atau menangani masalah ini atau mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Tambahnya, cadangan telah diberikan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk membina halangan bagi mengekang kehadiran lori membawa muatan sisa buangan ke lokasi tersebut.
“Kita difahamkan ada lori-lori yang membawa sisa buangan masuk dan buang di sini. Jadi mungkin kita akan tengok macam mana, kita boleh adakan benteng untuk menghalang lori masuk ke kawasan ini.
“Saya juga akan minta pihak JPS untuk membersihkan kawasan ini. Saya difahamkan ini sudah berlarutan dalam tempoh masa yang agak lama. Untuk mengelakkan situasi menjadi teruk, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Chen Choon berkata, pemilik tanah tersebut juga akan dikesan dan tindakan tegas bakal diambil oleh pihak berwajib mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara.
Sumber: Sinar Harian