BM | EN | 中文

Sambutan Tahun Baru Cina DUN Mengkibol medan erat hubungan

IMG-20200204-WA0001.jpg

Antara mereka yang hadir bergambar bersama

KLUANG, 4 FEB : Sempena sambutan Tahun Baru Cina, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol menganjurkan majlis rumah terbuka bagi meraikan Ketua-ketua Jabatan, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK), ketua kampung serta pemimpin masyarakat setempat.

ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, jamuan tersebut diatur istimewa bagi membuka ruang kepada pemimpin masyarakat setempat untuk bersama barisan penjawat awam berkumpul di pada satu pertemuan dalam usaha mengeratkan perhubungan diantara satu sama lain.

“Melalui majlis seperti ini yang lebih santai daripada program-program yang rasmi, membuka ruang bagi mereka untuk berkongsi pendapat dan mencari peluang yang lebih baik untuk memberi khidmat yang berkualiti kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam majlis yang sama juga, para jemputan turut bersama-sama membuat lukisan kaligrafi tang bermaksud ‘Kemakmuran’ (Prosperity) yang juga merupakan salah satu idea gagasan yang dibawa dengan konsep Kemakmuran Bersama.

Dianggarkan lebih 200 orang tetamu hadir selain disajikan dengan jamuan serta persembahan tarian singa.

Antara yang hadir ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Gan Peck Cheng; ADUN Yong Peng, Chew Peck Choo; Exco Keusahawanan, Koperasi, Sains dan Teknologi negeri, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, Exco Pendidikan, Kesihatan, dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan.

Turut bersama, ketua-ketua dah ahli-ahli parti komponen Pakatan Harapan Kluang serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif bersama DUN Mengkibol.

Chong Sin (kanan) bersama jemputan membuat lukisan kaligrafi tang bermaksud ‘Kemakmuran’ (Prosperity) yang merupakan salah satu idea dibawa melalui konsep Kemakmuran Bersama

“Program ini akan diteruskan demi menghargai jasa dan budi mereka yang sering membantu dalam pergerakan dan keberlangsungan Pejabat ADUN Mengkibol,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut bercadang untuk meneruskan tradisi majlis seperti ini termasuk jamuan Berbuka Puasa dan Hari Raya yang diadakan di kediamannya setiap tahun.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top