BM | EN | 中文

SAM gesa kaji semula SOP liputan media semasa perlawanan MFL

SAM-Persatuan-Penulis-Penulis-Sukan-Malaysia.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) disaran mengkaji semula beberapa peraturan ditetapkan terhadap pihak media yang membuat liputan saingan Liga Super dan Liga Premier musim 2021 yang bakal membuka tirai pada 5 Mac.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Datuk Jasnie Shafie menganggap peraturan ditetapkan badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu mewajibkan media terutama jurugambar atau jurukamera untuk membuat ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen pada setiap perlawanan sebagai kurang tepat dan agak membebankan.

Jelas beliau, peraturan itu akan menambahkan kos operasi pihak petugas media ketika dalam tempoh pandemik COVID-19 ketika ini, dengan setiap ujian dijalankan akan menelan anggaran kos RM100 hingga RM150 bagi seseorang petugas.

Advertisement

“Bayangkan kos perbelanjaan yang harus ditanggung pihak media pada setiap perlawanan dan jika sepanjang musim. Bukan sekadar kos dari segi wang ringgit malah kekangan masa untuk melaksanakan proses ini juga haruskan dititikberatkan.

“SAM sedar MFL selaku pengendali liga bola sepak tempatan sekadar melaksana peraturan berdasarkan garis panduan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) dan MKN (Majlis Keselematan Negara), tetapi pihak berwajib itu harus juga mengambil kira impak kewangan petugas media,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Jasnie berkata larangan wartawan untuk menemubual jurulatih atau pemain ketika latihan juga kelihatan suatu tindakan yang ‘mengarut’ tatkala ia boleh diadakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Advertisement

Justeru, beliau berkata SAM akan meminta bantuan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, untuk memanjangkan perkara itu kepada MKN dan KKM bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Media sentiasa bersama untuk mengaktifkan semula aktiviti sukan melalui Gelembung Sukan yang dilaksanakan, tetapi kebebasan dan kemudahan kepada media juga harus dititikberatkan,” katanya.

Saingan Liga-M 2021 akan membuka tirai pada 5 Mac dengan perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara penyandang Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top