KUALA LUMPUR, 26 JUL: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Dewan Rakyat hari ini mempersoalkan ‘kehilangan’ Menteri Kesihatan, Dato Seri Dr Adham Baba.
Dalam sesi mesyuarat khas parlimen hari ini beliau berkata, sebarang perkara membabitkan negara perlu sentiasa didahului oleh menteri berkenaan di bawah bidang kuasa mereka.
“Saya ingin membawa isu di sini contohnya isu pembunuhan beramai-ramai di kampung Memali, Menteri Dalam Negeri mengambil tempat dalam isu itu. Kapal terbang kita MH370, MH17 waktu itu menteri bertanggungjawab.
“Dalam beberapa isu semuanya mengambil tempat yang baik. Isunya di sini adalah tanggungjawab seorang menteri untuk menunjukkan kepimpinan dan Perdana Menteri yang menjadi ketua kabinet mesti memberikan panduan dan tanggungjawab.
“Ini soal nyawa, ini soal rakyat. Di mana Menteri Kesihatan. Ini isunya. Di mana mereka? Setiap menteri yang diberikan tanggungjawab. mengangkat sumpah, mesti mengambil tanggungjawab,” tegasnya.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu turut mempertikaikan kabinet yang disifatkan sebagai separuh masak.
Ini kerana tambahnya, mereka tidak langsung berperanan dengan baik dalam menjalankan tugas-tugas berhadapan pandemik Covid 19.
“Isu besar menteri mesti tampil. Isu besar, PM mesti tampil. Isu nyawa rakyat mati hari-hari. Ketua pengarah kesihatan yang tampil hari-hari.
“Di mana tanggungjawab dia Menteri Kesihatan. Sama ada kita kalah ataupun kita menang.
“Perdana Menteri perlu tahu bagaimana harus mengendali perkara ini,” tegasnya lagi.
Johorkini