JOHOR BAHRU, 17 OGOS: Pemaju Iskandar Coast Sdn Bhd telah diminta untuk menangguhan perobohan rumah di Kampung Sungai Perling sehingga segala rundingan dengan penduduk selesai.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau telah meminta pertimbangan dari pihak pemaju terutamanya berhubung aspek keselamatan dan penempatan semula.
Katanya, beliau tidak mahu berlakunya pertempuran di antara penduduk kampung dengan pihak pemaju dan beliau telah mengadakan pertemuan agar pihak pemaju membina dahulu petempatan semula untuk penduduk kampung.
“Dalam rundingan tersebut, kita memohon pihak pemaju dapat membina rumah mampu milik di atas tanah ini. Rakyat bukan mahu rumah percuma tetapi mereka meminta pihak pemaju mendirikan rumah untuk mereka secara sewa beli.
“Jadi bagi saya itu suatu penyelesaian ‘win-win’ antara kedua belah pihak.
“Berdasarkan perbincangan itu, saya telah menulis surat kepada Menteri Besar Johor dan kita telah pun mendapat sokongan dari Pegawai Daerah Johor Bahru.
“Ini satu perkembangan yang agak menarik dan saya minta pemaju tidak melakukan sebarang perobohan sebelum perkara ini diselesaikan dengan baik.
“Saya rasa penduduk kampung yang telah mendirikan penempatan disini sejak sekian lama harus juga diambil kira.
“Saya berharap rundingan antara Iskandar Coast Sdn Bhd dengan pihak kerajaan negeri Johor akan dapat diadakan dari masa ke semasa serta elakkanlah perobohan yang mungkin boleh menimbulkan ketegangan.
“Saya bimbang berlakunya perkara yang tidak diingini,” jelasnya.
Beliau yang merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, rundingan antara pihak yang berkenaan adalah jalan terbaik.

Misran Paiman
Sementara itu, ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Misran Paiman, 67, berkata surat susulan dari pihak pemaju kepada penduduk kampung telah meresahkan penduduk.
“Mengikut surat-surat yang dikeluarkan oleh pejabat daerah itu memang melegakan orang kampung. tetapi oleh kerana surat-surat susulan dari pihak pemaju telah meresahkan semula orang kampung.
“Jadi saya takut tidak dapat menasihatkan serta mengawal orang kampung supaya jangan bertindak agresif.
“Itulah usaha saya setakat ini yang cuba menenangkan penduduk kampung bersama dengan pimpinan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai.
“Sepatutnya pihak pemaju tidak boleh mengingkari perintah pihak kerajaan dan surat penangguhan itu dikeluarkan oleh pihak kerajaan namun pihak pemaju masih lagi bertindak untuk memberikan notis perobohan,” jelasnya.
Beliau turut berharap agar pihak kerajaan membuat tindakan untuk menegur pihak pemaju agar tidak mengingkari arahan perobohan serta menangguhkan perobohan tersebut.
Johorkini