KUALA LUMPUR, 13 OKT: Saingan Piala Malaysia 2020 yang dijadual bermula 25 Okt ditunda ke awal November, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan Sabah, pada masa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, tarikh baharu bagi pusingan awal melibatkan 16 pasukan pada kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu, ditetapkan pada 6, 7 dan 8 Nov.
Sementara saingan suku akhir pula dijadualkan pada 12 dan 13 Nov, diikuti aksi separuh akhir dan final masing-masing pada 17 dan 22 Nov.
“Pada masa ini, Piala Malaysia masih berada dalam perancangan untuk diteruskan.
“Pindaan tarikh ini selari dengan saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), yang menetapkan tiada aktiviti sukan berlangsung khususnya di kawasan atau negeri menjalani PKPB,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.
Ab Ghani berkata jadual baharu saingan itu mengambil kira tarikh saingan Liga Juara-Juara (ACL) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), melibatkan penyertaan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bernama