JOHOR BAHRU, 9 DIS : Keintelektualan yang diterapkan oleh universiti adalah bermatlamat untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang sentiasa kritis dan kreatif untuk mengembangkan daya pemikirannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, ia sekaligus mampu menghurai, mencerakin, merumus dan seterusnya berupaya memanfaatkan ilmunya tidak sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain dan masyarakat sekeliling.
“Kita mengetahui bahawa saingan dalam kalangan graduan sangat tinggi menyebabkan ramai anak-anak muda terlalu mengejar pencapaian akademik sehingga terlepas dalam mengikuti program-program atau aktiviti-aktiviti yang mempunyai banyak kebaikan kepada mahasiswa atau mahasiswi.
“Hubungan silaturrahim bersama anak-anak Johor di universiti juga agak sukar untuk dibentuk kerana masing-masing terlalu sibuk dengan kuliah, tugasan dan kerja kursus.
“Namun demikian, dengan adanya program seumpama ini dapatlah kita mengeratkan hubungan silaturrahim melalui penyatuan anak-anak Johor bersama-sama di universiti dan memberi galakan semangat anak-anak Johor di perantauan yang berjauhan dengan keluarga masing-masing,” katanya.
Aminolhuda berkata demikian sempena perjumpaan beliau bersama Persatuan Anak Johor di Borneo di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” di sini, semalam.

Aminolhuda bergambar bersama Persatuan Anak Johor di Borneo di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Pada majlis berkenaan turut berlangsung ramah mesra dan penyampaian insentif harapan siswa untuk anak Johor di universiti berkenaan membabitkan 1,500 pelajar yang terlibat.
Adun Parit Yaani itu memberitahu, perjumpaan sedemikian merupakan motivasi dan inspirasi kepada mereka untuk terus berusaha untuk menjadi seorang bakal graduan yang benar-benar berkualiti melalui penguasaan ilmu disamping penyampaian serta komunikasi yang berkesan melalui pengalaman daripada ikon-ikon mahasiswa.
“Saya percaya ini juga sekaligus memberi kesedaran sosial kepada mahasiswa mahasiswi supaya dapat menanam dan mengamalkan semangat perpaduan, permuafakatan dan berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.
“Interaksi sosial ini penting untuk memberi impak kepada pembentukan sahsiah pelajar sebagai suatu kemahiran soft skills yang perlu ada pada mereka.
“Para mahasiswa dan mahasiswi perlu didedahkan kepada suasana kehidupan bermasyarakat supaya mereka benar-benar dapat menyelami realiti kehidupan dan tidak terbelenggu dengan suasana pembelajaran di kampus,” katanya.
Sehubungan itu, sebagai langkah bagi membantu meletakkan mahasiswa sentiasa berada di landasan yang betul, beliau berkata, pihak universiti perlulah terus menyokong pelbagai program yang mengkhususkan kepada ‘softskill’ para pelajar termasuklah program-program seumpama ini.
“Justeru itu, adalah diharapkan dengan terlaksananya aktiviti ini, para pelajar akan memberikan respon yang baik dalam membudayakan kehidupan sebagai pelajar yang unggul serta peka dengan pelbagai isu-isu semasa baik di dalam mahupun di luar kampus dalam menjana keunggulan ummah,” katanya lagi.
JohorKini