BM | EN | 中文

Saham Ekovest naik susulan perkembangan mengenai Bandar Malaysia

ekovest-berhad.jpg

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Saham-saham Ekovest Bhd meningkat sebanyak 1.5 sen dalam dagangan awal berikutan laporan bahawa syarikat pembinaan tersebut kini dalam perbincangan eksklusif untuk membeli 40 peratus kepentingan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dalam projek Bandar Malaysia.

Ekovest juga muncul antara saham paling aktif dalam sesi dagangan pagi ini.

Pada 12.18 tengah hari, kaunter itu naik 1.5 sen kepada 52 sen daripada 50.5 sen semalam dengan 64.2 juta saham saling berpindah tangan.

Sebanyak 63 peratus kepentingan IWH dimiliki oleh Pengerusi Ekovest, Tan Sri Lim Kang Hoo manakala baki 37 peratus dikuasai oleh syarikat milik kerajaan Negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Ekovest berkata ia telah menerima surat daripada IWH pada 7 September lepas yang menawarkan rundingan eksklusif bagi meninjau pembabitannya sebagai pelabur strategik dalam projek Bandar Malaysia menerusi pengambilalihan 40 peratus kepentingan ekuiti IWH dalam IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC).

IWH-CREC merupakan usaha sama 60:40 antara IWH dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CRECM) yang juga anak syarikat milik penuh kerajaan China iaitu China Railway Group Ltd (CREC).

Pada 17 Dis, 2019, IWH menerusi IWH-CREC telah memeterai dan meminda perjanjian jualan saham dengan TRX City Sdn Bhd bagi membeli 60 peratus kepentingan ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd untuk melaksanakan pembangunan projek Bandar Malaysia.

TRX City merupakan anak syarikat tidak langsung milik Kementerian Kewangan manakala Bandar Malaysia Sdn Bhd adalah pemaju utama Bandar Malaysia.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, Ekovest berkata ahli Lembaga Pengarahnya telah bersetuju untuk memulakan rundingan eksklusif dengan IWH bagi memperhalusi cadangan itu dengan hasrat untuk memeterai perjanjian dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan surat itu, kecuali dilanjutkan lagi dengan persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top