SEGAMAT, 7 JAN: Sebuah rumah kakitangan Felda Pemanis 1 hampir musnah dalam satu kejadian kebakaran disini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hazim Abdul Razak dalam satu kenyataannya pagi ini berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.35 pagi ini.
Seramai 15 anggota dengan jentera utama pemadaman kebakaran (FRT), LFRT dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari balai bomba Segamat dan Bandar Baru Segamat telah digerakkan ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Tindakan Operasi (PTO) di lokasi kejadian didapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal milik Felda,” kata Hazim.
Usaha pemadaman yang diketuai Komender Operasi, Iskandar Mohamad berjaya memadam kebakaran struktur yang tidak berpenghuni tersebut dalam masa kira-kira dua jam.
“Kebakaran telah memusnahkan 80 peratus rumah tersebut. Pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera,” katanya lagi.
Beliau berkata, pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kebakaran dan juga jumlah kerugian.
Johorkini