BM | EN | 中文

Rumah di Kota Tinggi terbakar ketika masak air untuk sahur

Rumah-terbakar-ketika-masak-air-untuk-sahur.jpg

Gambar Ehsan Bomba Kota Tinggi

Advertisement

KOTA TINGGI, 1 MEI: Tiga sekeluarga di Felda Linggiu, di sini terselamat, namun kediaman mereka terbakar ekoran penghuninya terlelap ketika sedang masak air untuk persiapan sahur, awal pagi semalam.

Penerokawati, Faridah Dahli, 56, berkata, ketika kejadian hanya terdapat suaminya, Mohd. Fauzi Latif, 66, bersama seorang anak dan seorang cucu mereka di rumah.

Katanya, dia tiada di rumah semasa kejadian kerana tidur di rumah seorang lagi anaknya di Tampoi, Johor Bahru sejak petang semalam.

Advertisement

“Ketika dimaklumkan kejadian itu saya sedang solat dan sangat terkejut apabila dapat tahu rumah terbakar. Masa itu hanya fikirkan keadaan suami, anak dan cucu yang berada di rumah.

“Saya diberitahu oleh anak kejadian itu berlaku ketika suami memasak air di dapur untuk bersahur namun dia tertidur.

“Syukur Allah SWT masih selamatkan mereka apabila tidak lama kemudian anak saya yang terlewat bangun sahur tersedar dan terus mendapati api sudah membakar bahagian dapur rumah,” katanya.

Advertisement

Faridah berkata, anaknya sempat mematikan suis utama elektrik bagi mengelak litar pintas berlaku sebelum menghubungi pasukan bomba.

Jelasnya, ekoran kebakaran itu dia dan suami tinggal sehelai sepinggang apabila almari baju yang diletak di bahagian dapur rumah juga musnah dalam kejadian itu.

“Baju raya saya dan suami yang telah dibeli awal juga turut hangus. Saya hanya ada baju yang dibawa ke rumah anak sahaja. Mujur semua selamat, apa-apa pun kami reda dengan ujian ini,” katanya, lapor Utusan Online .

Advertisement

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran itu pada pukul 5.35 pagi sebelum ke lokasi bersama 12 anggota.

“Kebakaran rumah itu hanya melibatkan bahagian dapur. Insiden itu turut memusnahkan dua buah motosikal Honda Wave Future dan Yamaha Cup yang terbakar 95 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak bomba masih melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti anggaran kerugian dan punca kebakaran,” katanya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top