JOHOR BAHRU, 30 SEPT: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyasarkan peningkatan purata pendapatan pengusaha nanas di negara ini kepada antara RM5,000 dan RM8,000 sebulan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Pengerusinya Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai dengan perancangan teliti LPNM, yang berjaya diterjemahkan menerusi program pembangunan dan transformasi industri pada RMK11.
Beliau berkata LPNM menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diberikan peruntukan diperakukan sebanyak RM137 juta, untuk menjalankan projek pembangunan di bawah RMK12 untuk tempoh lima tahun sehingga 2025.
“Insya-Allah, kita cukup yakin sasaran ini boleh dicapai kerana varieti premium MD2 adalah tanaman utama LPNM, dalam meningkatkan pendapatan pengusaha sehingga RM8,000 sebulan, memandangkan varieti ini mempunyai ruang pasaran kukuh di dalam dan luar negara dalam waktu pandemik ini.
“Alhamdulillah, MD2 tiada masalah dalam pemasaran,” katanya, lapor Bernama.
Katanya antara tujuh projek pembangunan LPNM di bawah RMK12 ialah pengukuhan tanaman nanas bernilai tinggi, pengeluaran benih nanas, transformasi teknologi dan pengurusan tanaman nanas serta program penerokaan pasaran industri nanas global.
Sahruddin berkata sebanyak 43.79 peratus daripada peruntukan keseluruhan RMK12 dikhususkan kepada projek pengukuhan tanaman nanas bernilai tinggi, dengan 50 peratus daripada peruntukan itu menyasarkan kepada tanaman nanas varieti premium MD2 dalam kalangan pengusaha dan pekebun kecil.
“LPNM akan meningkatkan pendapatan pengusaha melalui program pengeluaran benih nanas yang memberi peluang kepada pengusaha menghasilkan benih, bagi tujuan untuk menampung keperluan perluasan kawasan tanaman nanas negara.
“Melalui usaha berterusan dilaksana LPNM serta peruntukan oleh kerajaan, LPNM akan terus dapat memperkasa industri nanas negara dengan pelbagai bantuan, inisiatif, khidmat nasihat serta sokongan, terutamanya kepada pekebun kecil serta semua pengusaha nanas terlibat dalam rantaian sektor ini,” katanya.
Bagi merancakkan lagi sektor itu, Dr Sahruddin berkata beberapa strategi penambahbaikan turut dirancang, termasuk memperbanyakkan keterlibatan pengusaha nanas dalam aktiviti pertanian nanas secara koperasi atau kelompok, bagi mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti pengeluaran tanaman nanas.
Katanya LPNM juga akan memperluaskan penggunaan teknologi terkini dalam aktiviti penanaman melalui Internet Benda (loT) seperti penderiaan jauh, kaedah pembajaan serta penggunaan jentera moden dalam meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan tanaman nanas, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Bernama