BM | EN | 中文

RM9.3 juta rokok seludup dirampas di 29 kedai runcit seluruh Johor Bahru

rokok-seludup.jpg

Gambar Hiasan (Ehsan VOICE)

JOHOR BAHRU, 27 OGOS: Polis merampas 2,593 kotak dan 692 karton rokok tidak bercukai yang dianggarkan berjumlah RM9.37 juta, menerusi serbuan di 29 kedai runcit di sekitar bandar raya ini, sejak awal Ogos.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata, menerusi kesemua serbuan tersebut, pihaknya turut menahan 30 lelaki dan seorang wanita rakyat asing, serta seorang lelaki tempatan, yang kesemua berumur antara 20 dan 60 tahun, dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok tersebut.

“Turut dirampas, sebuah kereta Proton Wira dan sebuah Perodua Myvi, yang dipercayai digunakan untuk menyeludup dan mengedar rokok,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Mohd Padzli berkata, antara modus operandi premis yang diserbu itu adalah dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit menjual barangan keperluan rumah.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kesemua rokok pelbagai jenama berkenaan dijual dengan harga antara RM4.50 dan RM9.50 sekotak.

Katanya, kesemua yang ditahan itu kini disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh didenda 20 kali ganda nilai rampasan dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dipercayai menjalankan kegiatan melibatkan penyeludupan dan pengedaran rokok seludup.

“Sehubungan itu, polis berharap orang ramai tampil menyalurkan maklumat berhubung kegiatan tersebut ke talian ‘hotline’ 07-2182323,” katanya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top