BM | EN | 中文

RM48.6 juta diperlukan untuk baiki jalan rosak, berisiko di enam daerah Johor – Exco Kerja Raya

solihan-badri-jkr.png

Gambar Ehsan Bernama

Advertisement

KLUANG, 17 JAN: Kerajaan Negeri Johor memerlukan peruntukan sebanyak RM48.6 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kerja membaiki dan menaik taraf jalan yang rosak dan berisiko di enam daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata jumlah itu bagi membaiki pelbagai jenis tahap kerosakan di 55 jalan persekutuan dan 23 jalan negeri dalam Daerah Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Segamat, Mersing dan Kulai.

Katanya, antara jenis kerosakan yang telah dikenal pasti ialah terdapat laluan mempunyai aras jalan yang rendah, longkang, pembentung dan penyambung jambatan rosak serta berlaku runtuhan cerun di tepi jalan.

Advertisement

Sehubungan itu, untuk mendapatkan peruntukan tersebut, pihaknya sudah pun mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kerja Raya pada minggu lepas, kata beliau.

“Punca kerosakan adalah kerana hujan lebat, selain disebabkan kejadian banjir serta limpahan air daripada kawasan pertanian di kawasan sekitar jalan,” kata Solihan selepas melawat kawasan kejadian gelongsoran tanah di Taman Sri Impian di sini, hari ini.

Turut menyertai lawatan ialah Jurutera Awam Penguasa Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, Zakariah Mahat dan Jurutera JKR Daerah Kluang, Aidi Mohd Salleh.

Advertisement

Berhubung kejadian gelongsoran tanah itu pula, Solihan berkata JKR akan menutup jalan berkenaan untuk tempoh seminggu lagi bagi melaksanakan kerja pembersihan di samping untuk membolehkan kerja pemantauan pergerakan tanah dibuat di kawasan berhampiran.

“Oleh itu, saya menasihatkan pengguna jalan raya yang mahu ke Kota Tinggi atau sebaliknya agar dapat menggunakan jalan alternatif iaitu dengan melalui jalan di Taman Sri Impian,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top