ISKANDAR PUTERI, 30 NOV: Sebanyak RM41 juta diperuntukkan untuk membangun dan membaikpulih sekolah-sekolah agama kerajaan negeri Johor (SAKJ), menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi.
Kata Tosrin, jumlah tersebut tidak termasuk bantuan khas oleh kerajaan negeri Johor, khususnya untuk badan kebajikan sekolah agama (BKSA) di seluruh negeri.
Ketika berucap pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Johor 2020 di Kota Iskandar Khamis lalu, Tosrin berkata bagi tahun 2019, kerajaan telah memberikan bantuan kepada BKSA secara one-off, iaitu 576 buah sekolah agama kerajaan Johor.
Turut menerima bantuan ialah lima sekolah menengah agama kerajaan Johor di Kluang, Maahad Johor, Maahad di Pontian, SMA Parit Raja dan SMA Bugisiah di Benut.
Keseluruhan peruntukan tersebut berjumlah RM2.8juta yang diberikan secara pukal dengan agihan RM5,000 bagi setiap sekolah.
“Bagi Belanjawan 2020, pihak kerajaan telah menyalurkan peruntukan BKSA tersebut kepada SAKJ di negeri Johor.
“Sebagai tambahan, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) pula pada tahun 2019 telah memperuntukkan sebanyak RM1,916,000.00 bagi 570 buah SAKJ mengikut gred sekolah tersebut.
“Bagi gred A, 50 buah sekolah berjumlah RM250,000.00. Bagi gred B, 88 buah sekolah berjumlah RM438,000.00. Bagi gred C, 440 buah sekolah berjumlah RM1,320,000.00,” kata Tosrin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang) berhubung peruntukan dan agihan kepada badan kebajikan dan sekolah agama negeri Johor.
Dalam pada itu kata Tosrin, kerajaan negeri turut merancang untuk membangunkan sekolah agama bagi tahap kelima yang akan dimajukan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) melalui anak syarikatnya KPRJ Builders bermula 2020.
Johorkini