BM | EN | 中文

RM3.6 juta diperuntuk selenggara lebuhraya Pasir Gudang tahun ini

Lebuhraya-Pasir-Gudang-Solihan-Badri.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 16 NOV: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM3.6 juta tahun ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, bagi memastikan keselamatan laluan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata selain penyelenggaraan secara berkala itu, kerja-kerja rutin di lebuh raya sepanjang 33 kilometer itu turut dilakukan meliputi pemotongan rumput dan pembersihan longkang.

“Saya sudah mengarahkan syarikat konsesi menggandakan lagi rondaan di Lebuhraya Pasir Gudang ini, setiap hari sekurang-kurangnya sekali. Kami memang mendapati laluan ini penting dan terdapat struktur jalannya yang perlu ditambah baik secara jangka panjang,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Sentosa, Pasir Gudang, hari ini, selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarga Allahyarham Nurul Ain Md Rasol, pembonceng motosikal yang maut dalam kemalangan di KM34 Lebuhraya Pasir Gudang, dua hari lepas.

Mohd Solihan berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor juga akan mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Kerja Raya, untuk mendapatkan peruntukan bagi membaik pulih sebahagian struktur laluan lebuh raya terbabit.

“Terdapat struktur di laluan itu yang dikenal pasti perlu ditambah baik kerana keadaannya menyebabkan jalan kerap berlubang,” katanya.

Advertisement

Sementara itu, menurut Mohd Solihan, seluruh jalan raya di negeri ini sentiasa dipastikan selamat dan selesa kepada pengguna.

Beliau berkata sepanjang bulan lepas terdapat sebanyak 992 aktiviti penampalan jalan dilakukan dalam masa sehari manakala 1,287 aktiviti sama dilakukan dalam masa tiga hari.

Dalam kejadian pada kira-kira 6.45 petang, Nurul Ain, 27, terjatuh selepas motosikal diboncengnya melanggar lubang dan mengakibatkan kecederaan parah di bahagian muka dan kepala sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top