BM | EN | 中文

RM250,000 diperuntuk wujudkan bilik Mama Friendly di Johor selatan

RM250000-diperuntuk-wujudkan-bilik-Mama-Friendly-di-Johor-selatan.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 7 OGOS: Kerajaan negeri dengan kerjasama enam parlimen di Johor selatan akan menubuhkan bilik khas penyusuan susu ibu bagi kegunaan para kakitangan di 25 sekolah dan kolej universiti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata setiap sekolah dan kolej universiti terlibat akan menerima RM10,000 daripada ahli parlimen masing-masing untuk mewujudkan kemudahan itu.

Menurut Liow, enam kawasan parlimen yang terlibat adalah Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Johor Bahru, Tebrau, Pulai dan Kulai.

Advertisement

“Usaha ini adalah untuk meredakan guru dan kakitangan sekolah dalam menjalankan tugas mereka di tempat kerja dan pada masa yang sama, memenuhi keperluan ibu bekerja yang masih menyusu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambahnya antara kolej universiti yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) adalah Southern University College, serta Persatuan Hotel Bajet Malaysia Cawangan Johor, bersempena Minggu Menyusukan Sedunia 2019 pada 4 Ogos lalu.

“Setakat ini, YPKDT telah menandatangani MoU Friendly Mama dengan 40 pihak termasuk sekolah, pihak berkuasa tempatan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Advertisement

“Setelah menandatangani MoU ini, pihak tersebut perlu menubuhkan Bilik Mama Friendly di premis masing-masing dalam tempoh satu tahun seperti tertakluk dalam terma MoU.

“YPKDT yang mewakili Kerajaan Negeri sebagai penyelaras bagi pelaksanaan Program Mama Friendly, sentiasa terbuka untuk memberi khidmat nasihat dan garis panduan dalam mewujudkan bilik penyusuan tersebut,” kata Liow.

Liow yang juga Adun Johor Jaya berkata, program itu akan diperluaskan di kawasan lain di Johor berikutan permintaan ahli-ahli parlimen yang turut menyatakan hasrat untuk memberi peruntukan kepada sekolah di kawasan mereka bagi mewujudkan Bilik Mama Friendly.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top