ISKANDAR PUTERI, 21 NOV : Sebanyak RM2 juta disalurkan kepada Unit Strategik Modal Insan (SMI) bagi meneruskan pelaksanaan program Johor Upskilling and Reskilling 2020.
Kerajaan negeri juga berusaha untuk memastikan keberkesanan projek pembangunan modal insan yang dijalankan melalui program jelajah Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negeri Johor 2020 yang akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM350,000.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, melalui Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk tabung pusingan dana latihan kemahiran.
“Sebanyak RM2 juta disumbangkan oleh kerajaan negeri dan RM500,000 daripada Kumpulan Pendidikan YPJ.
“Program ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 500 orang daripada kalangan anak muda Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2020) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di sini hari ini.
Dr Sahruddin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan di Negeri Johor di mana antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah membaiki sekolah daif dengan kos keseluruhan RM29 juta.
Katanya, kerajaan negeri juga turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi bantuan penyelenggaraan kepada sekolah-sekolah harian negeri Johor mengikut keperluan semasa.
“Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi program penambahbaikan infrastruktur melibatkan Sekolah-Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
“Kerajaan negeri juga mengambil berat tentang masa depan anak-anak yang merupakan generasi pembangun negeri masa hadapan.
“Justeru, kerajaan negeri akan menjalankan program dana didik Johor dengan menaikkan jumlah penyaluran insentif daripada RM50 kepada RM100 bagi setiap bayi dalam kalangan B40.
“Menerusi program ini, peruntukan sebanyak RM100 ribu disediakan yang memberi manfaat kepada 1,000 bayi sebagai pelaburan pendidikan mereka pada masa hadapan,” katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan negeri juga bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi menjayakan program pembangunan pelajar negeri Johor.
Disamping itu, peruntukan sebanyak RM1.2 juta disediakan kepada YPJ bagi melaksanakan program pembangunan insan di kalangan Mahasiswa Johor.
“YPJ turut meneruskan bantuan pengajian pelajar negeri Johor dengan peruntukan sejumlah RM24.1 juta pada tahun 2020,” katanya lagi.
JohorKini