BM | EN | 中文

RM 7.184 billion untuk gaji menteri, timbalan menteri suatu pembaziran

Dzulkefly-Ahmad-Kota-Iskandar.jpg

Adun Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad

JOHOR BAHRU, 19 OGOS: Peruntukan berjumlah RM 7.184 billion untuk gaji menteri dan timbalan menteri bagi kelulusan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat 17 Ogos lalu dilihat suatu pembaziran wang rakyat.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata jumlah itu adalah peruntukan bagi menampung pertambahan 15 anggota kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, anggota kabinet seramai 70 orang ini merupakan saiz kabinet yang paling terbesar bagi kerajaan Malaysia semenjak Merdeka.

“Semasa kerajan Pakatan Harapan (PH), anggota kabinet hanyalah seramai 55 orang berbanding dengan kerajaan PN seramai 70 orang.

“Semasa pentadbiran kerajaan PH hanya terdapat 24 kementerian dengan 25 menteri dan 28 timnalan menteri berbanding kerajaan PN mempunyai 26 kementerian, 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

“Ada kementerian baharu tidak perlu diwujudkan seperti tiga kementerian iaitu, Kementerian Alam Sekitar, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi di bawah kerajaan PN yang datangnya dari dua kementerian di bawah kerajaan PH, iaitu Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

“Selain itu terdapat juga kementerian yang lain turut diperbanyakkan di zaman kerajaan PN berbanding zaman kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dzulkefly yang juga Adun Kota Iskandar berkata, tindakan melantik menteri dan timbalan menteri tambahan digunakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai strategi mendapatkan sokongan politik kepada kerajaan PN.

Tambahnya, ini bermakna RM 7.184 billion duit rakyat digunakan Muhyiddin dan PN untuk membeli sokongan khususnya daripada ahli-ahli parlimen.

“Sepatutnya RM 7.184 billion ini boleh digunakan untuk membantu rakyat Malaysia khususnya daripada golongan B40 (berpendapatan rendah) dan M40 (berpendapatan sederhana) bagi menghadapi keadaan ekonomi yang merosot pasca Covid-19.

“Bahkan RM 7.184 billion ini boleh digunakan untuk meneruskan program 6 bulan moratorium yang akan berakhir pada September ini yang melibatkan kos sebanyak RM 6.4 billion dengan memberi manfaat kepada 7.7 juta orang.

“Kerajaan PN sepatutnya dalam keadaan hutang negara dan liabiliti mencecah RM 1.2 trillion perlu lebih berhemah dan telus dalam perbelanjaan dan tidak menggunakan duit rakyat bagi membeli sokongan politik untuk kepentingan politik PN semata-mata,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top