BM | EN | 中文

Rizab air Johor dijangka meningkat menjelang 2026 berikutan pembinaan loji baru

Loji-air-Johor-Linggiu.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 30 NOV: Rizab bekalan air di Johor dijangka terus meningkat menjelang 2026 menerusi beberapa lagi rancangan projek pembinaan loji baharu di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ketika ini, empat pembinaan loji baharu dan menaik taraf loji sedia ada sudah berjaya disiapkan termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Buloh Kasap, LRA Bukit Serampang, LRA Sungai Lebam serta LRA Pemanis.

“Pihak Ranhill SAJ komited dalam menyediakan kapasiti rizab bekalan air yang mencukupi dan berusaha untuk melaksanakan beberapa program menaik taraf serta membina LRA baharu sebagaimana digariskan dalam pelan perniagaan yang diluluskan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Advertisement

“Ini termasuk projek-projek yang sedang dalam proses pembinaan dan dilaksanakan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) seperti LRA Layang 2 (Fasa 1) yang berkapasiti 160 juta liter sehari dan LRA Pagoh berkapasiti 40 juta liter sehari serta LRA Kahang berkapasiti 40 juta liter sehari yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Chen Choon (PH-Jementah) dan Tan Hong Pin (PH-Skudai) yang ingin tahu rizab kapasiti bekalan air sedia ada di negeri ini bagi menghadapi waktu kecemasan dan rancangan Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu permintaan serta pembekalan bagi memastikan bekalan air secara mampan.

Hasni berkata berdasarkan rekod Ranhill SAJ, sejak 2016 sehingga tahun lepas, penghasilan air terawat di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 18.39 peratus berbanding permintaan air yang meningkat sebanyak 20.48 peratus, bagi tempoh sama.

Advertisement

Menurutnya, dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk di negeri ini, permintaan air pada 2030 diunjurkan meningkat sehingga 28.18 peratus.

“Namun begitu, dengan projek-projek infrastruktur yang telah dirancang oleh kerajaan, penghasilan air terawat pada 2030 dapat diunjurkan menyaksikan peningkatan sehingga sebanyak 20.63 peratus,” katanya.

Hasni berkata Johor memiliki beberapa sungai utama iaitu Sungai Muar, Sungai Batu Pahat, Sungai Johor, Sungai Ulu Sedili Besar, Sungai Mersing serta Sungai Endau yang menjadi sumber bekalan air mentah ke LRA.

Advertisement

Terdapat 45 LRA yang memperoleh sumber bekalan air permukaan (sungai dan empangan) iaitu membekalkan air bersih kepada pengguna sebanyak kira-kira 1,818 juta liter sehari, katanya.

“Sebagai tambahan, purata hujan tahunan juga tinggi iaitu kira-kira 2,000 milimiter (mm) hingga 2,500mm setahun. Secara tidak langsung, ini menjanjikan sumber air yang mencukupi bagi keperluan LRA.

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku cuaca kering atau pun panas seperti fenomena El-Nino, LRA yang akan terjejas adalah LRA Sungai Gembut dan LRA Lok Heng manakala LRA lain, masih boleh beroperasi kerana masih mempunyai sumber air yang optimum,” katanya.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top