BM | EN | 中文

‘Rice4U’ program tradisi DUN Parit Yaani bantu rakyat

Rice4U-DUN-Parit-Yaani-tradisi-bantu-rakyat-Aminolhuda-Hassan.jpg

BATU PAHAT, 31 OGOS: Program ‘Rice 4 U’, inisiatif Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan telah menjadi tradiisi dan dijalankan bagi membantu penduduk di kawasannya semenjak beliau menjadi Adun di Parit Yaani yaitu pada tahun 2013.

Katanya, program ‘Rice 4 U’ sebagai wadah bagi menyampaikan sumbangan dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh penduduk di Dun Parit Yaani dan sekitarnya.

“Untuk Dun Parit Yaani kita pecahkan kepada tiga zon, Parit Yaani, Tongkang Pechah dan Beroleh. Setiap zon akan diberikan sumbangan secara berkala setiap bulan.

“Untuk zon Parit Yaani sahaja kita ada 86 keluarga yang menerima sumbangan dan boleh dikatakan lebih dari 300 keluarga yang kita akan bantu setiap bulan secara berkala.

“Selain itu, kami juga mempunyai program anak angkat’ yang merupakan sumbangan bulanan kepada anak yatim dan miskin.

“Di zon Parit Yaani sahaja kita ada 100 orang anak yatim dan 30 lagi adalah dari Dun Parit Raja yang turut kita masukkan dalam program tersebut.

“Saya yakin anak yatim ini memerlukan bantuan dan sumbangan dari mana-mana pihak. Konsep inilah yang saya ambil peranan untuk membantu keluarga yang kehilangan sumber pencarian dari seorang bapa atau ibu selain kasih sayang yang sepatutnya mereka dapat,” ujarnya.

Beliau ditemui dalam satu majlis ‘Rice 4 U’ di Masjid Jamek Kampung Sri Bengkal dan program tersebut telah disusun dengan pembabitan lebih 90 peratus penerima sumbangan yang hadir.

Tambahnya, peranan sebagai wakil rakyat di kawasan itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin melalui bantuan kepada rakyat setempat di kawasannya.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat baik petugas, jawatankuasa masjid, penyumbang serta semua yang terbabit.

“Lebih tujuh tahun saya menjadi wakil rakyat, program ini tidak pernah putus kita jalankan dan penerima bertambah dari masa ke semasa mengikut keadaan ekonomi serta status anak yatim yang ada di Dun ini.

“Kebanyakan penyumbang adalah dari mereka yang awalnya melihat program ini dan mereka dengan rela hati untuk menyumbang kepada pihak kami untuk diberikan kepada seluruh penduduk yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top