KLUANG, 2 JUN: Ribuan udang galah dan ikan air tawar ditemui mati terapung di permukaan Sungai Sembrong dekat Kampung Orang Asli Sedohok di sini, petang semalam.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok, Halim Jahari dilaporkan BH Online sebagai berkata, kejadian itu disedarinya pada jam 5 petang disyaki berpunca dari pencemaran air sungai berkenaan.
Katanya, penduduk berharap pihak berkuasa segera menyiasat punca kejadian itu yang dikhuatiri dicetuskan kilang serta perusahaan yang beroperasi di hulu sungai berkenaan.
“Air sungai kelihatan berminyak dan mungkin itu menjadi penyebab pencemaran ini sehingga udang dan ikan mati.
“Malah saya ada mengambil sedikit air sungai berkenaan sekiranya diperlukan pihak berkenaan untuk membuat kajian dan siasatan punca pencemaran,” katanya di sini, hari ini.
[BACA: Penemuan dadah bernilai RM2.67 juta di Parit Samsu Muar, dua lelaki diburu]
Halim tidak mengesyaki kejadian ini berpunca daripada aktiviti menuba sungai kerana ia tidak menyebabkan air berminyak seperti berlaku petang semalam.
“Sebagai langkah keselamatan, semua penduduk yang ada mengambil ikan atau udang di yang ditemui terapung di sungai ini petang semalam dilarang memakannya kerana bimbang ia dicemari bahan beracun yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Kami menuntut tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab mencemarkan Sungai Sembrong ini kerana secara tidak langsung menjejaskan pendapatan nelayan darat yang bergantung kepada sumber sungai ini,” katanya.
Halim berkata, pihaknya bimbang pencemaran itu akan menyebabkan sungai berkenaan memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk kembali pulih seperti biasa bagi membolehkan aktiviti perikanan dilakukan semula.
Johorkini