BM | EN | 中文

‘Rezeki berumahtangga’ kata penerima RMBJ Tanjung Senibong

rmbj-tanjung-senibong.jpg

Che Zakaria Mohd Salleh (atas tengah) menyempurnakan Majlis Pengundian RMBJ Tanjung Senibong di SJKC Chee Tong

JOHOR BAHRU, 21 DIS: ‘Rezeki berumahtangga’ antara ungkapan diucapkan penerima Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) Taman Senibong, ketika ditemui pada majlis pengundian yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chee Tong, di sini hari ini.

Salah seorang penerima, Sharif Sulaiman, 29, (kanan) berkata, dia amat bersyukur kerana terpilih kerana sebelum ini dia dan keluarga hanya menetap di rumah sewa.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana berpeluang memiliki rumah sendiri. Selama saya hidup, saya dan keluarga hanya menetap di rumah sewa di Bakar Batu.

“Saya anggap ini rezeki berkahwin. Saya baharu mendirikan rumah tangga pada bulan September lalu. Jadi saya amat bersyukur,” katanya yang akan membawa ibu bapa, isteri dan seorang adiknya tinggal bersama apabila rumah itu siap kelak.

Majlis Pengundian RMBJ Tanjung Senibong disempurnakan ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh.

Dalam program tersebut, sebanyak 178 unit kediaman diundi melibatkan kuota Awam Melayu, Awam India dan Awam Cina.

Seorang lagi penerima, Mohd Amirrul Roslan, 26, memberitahu, dia telah memohon RMBJ sejak awal tahun dan kini bersyukur dapat memiliki rumah sendiri di kawasan kerjanya.

“Saya bekerja di Pasir Gudang dan menetap di rumah sewa bujang. Namun saya bakal berkahwin pada bulan Januari ini jadi saya perlu berpindah ke rumah baharu.

“Alhamdulillah kini saya berpeluang menetap di rumah sendiri. Memang benar orang kata mendirikan rumah tangga murah rezeki,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Mohd Fahmi Yusof, 31, juga memberitahu, dia telah memohon kediaman RMBJ selama tiga kali sebelum permohonan berjaya.

“Saya mula memohon RMBJ sejak tahun 2015, ketika masih bujang lagi namun mungkin belum rezeki saya.

“Alhamdulillah permohonan kali ketiga selepas mendirikan rumah tangga awal tahun lalu berjaya,” ujarnya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top