BM | EN | 中文

[RENCANA] Batu Aceh, laluan purba sungai dari barat ke timur Semenanjung ada di Bukit Inas, Batu Pahat

Batu-Aceh.jpg

Batu Aceh di Bukit Inas, dipercayai berusia lebih 600 tahun berdekatan tapak cadangan pusat pelupusan sampah Bukit Payung di Batu Pahat

Oleh: Iltizam Iman

Pertama kali saya ke Bukit Inas dibawa oleh seorang aktivis sejarah yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Batu Pahat, iaitu Azlan Sharif untuk melihat sendiri peninggalan makam-makam zaman Kesultanan Melayu Melaka yang berada di situ.

Di kawasan permakaman keadaannya agak terbiar dan tidak terurus. Rutin penjagaannya hanya bergantung terhadap inisiatif murni orang kampung semata-mata. (Gambar)

Penduduk di situ sangat curiga dengan kehadiran kami, atau kehadiran orang luar. Kerana ada yang datang ke situ bukanlah bertujuan untuk menggali peninggalan sejarah, tetapi untuk memuja kubur dan mencari harta-harta lama.

Mujur mereka telah sedia mengenali Azlan Sharif dan kerja-kerja beliau, secara tak langsung mereka faham apa tujuan kami berada di situ. Selepas mereka mengetahui tujuan kami, sikap mereka menjadi amat ramah dan banyak informasi penting yang mereka kongsikan bersama. (Gambar)

Pengkaji sejarah Johor, Azlan Sharif (kiri)

Bukit Inas adalah sebuah bukit yang terletak di sebelah utara Batu Pahat, hanya kira-kira 2.5km dari tapak cadangan Pusat Pelupusan Sampah Bukit Payong. Di sekitarnya terdapat beberapa buah bukit yang lain iaitu Bukit Berdiri, Bukit Payong, Bukit Alam, Bukit Botak dan Bukit Merlimau.

Jika dilalui sepanjang kampung di sekitar Bukit Inas ini, sememangnya kita tidak akan menyedari bahawa tanah ini mengandung sejarah yang masih belum benar-benar diselongkar.

Di kaki Bukit Inas ini terdapat makam-makam lama yang telah wujud lebih 500 tahun dahulu, sekitar tahun 1400 sehingga 1600 Masihi. Pertama kali perkara ini diketahui orang awam apabila ianya tersiar di dalam surat khabar Berita Harian, muka surat 5, yang bertarikh 8 Januari 1961.  Keratan akhbar ini boleh ditemui dalam portal rasmi Perpustakaan Nasional Singapura.

Mengikut kajian Dr. Othman Yatim “Batu Aceh: Early Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia” yang diterbitkan oleh Persatuan Muzium Malaysia, batu-batu nisan ini diperbuat di Aceh, Sumatera Utara. Ini adalah satu fakta yang tidak lagi diragukan. Kerana itu, beliau menamakan batu-batu nisan ini sebagai “Batu Aceh”.

Beliau juga telah menghasilkan tipologi Batu Aceh Othman Mohd Yatim pada tahun 1988, sebagai rujukan bagi pengkaji sejarah nisan Batu Aceh agar dapat mengenal pasti tarikh makam-makam tersebut melalui bentuk ukirannya.

Ia juga sebagai sebuah usaha yang memudahkan pengkaji agar, kajian dan penyelidikan tentang khazanah sejarah penting ini dapat dijalankan oleh generasi sekarang dengan lebih mendalam. (Gambar kanan)

Makam-makam ini terletak betul-betul di persisir Sungai Simpang Kiri, tetapi sungai ini telah dilencongkan sedikit kedudukannya oleh JPS bagi mengelakkan banjir daripada berlaku di Sri Medan. Laluan sungai ini berhubung dengan Sungai Simpang Kanan dan Sungai Batu Pahat.

Sungai Sembrong di Batu Pahat menghala ke Kuala Endau, Mersing adalah sebuah lebuh raya purba

Menariknya, laluan sungai ini adalah laluan utama lebuh raya purba sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka. (Gambar kiri)

Di dalam jurnal H.W Lake dan H.J Kelsall yang diterbitkan pada 1894 bertajuk “A Journey of The Sembrong River From Kuala Endau to Batu Pahat”, ada mencatatkan laluan air Sungai Sembrong (Batu Pahat) menghala ke Kuala Endau (Mersing) juga adalah sebuah lebuh raya purba yang mempunyai jarak sepanjang 220 km.

Tetapi laluan lebuh raya itu harus dikenal pasti semula kedudukannya, ini kerana bentuk asalnya telah rosak akibat pembinaan empangan Sembrong, empangan Berlian dan Tasek Labong. (Gambar)

Gambar satelit peta topografi, tapak makam dan Bukit Payung

 

Dalam catatan Tome Pires pula, di pesisir sungai pernah wujud sebuah penempatan yang telah kukuh dari sudut sosio-budaya dan sosio-ekonominya. Dalam catatan tersebut, yang bertajuk “Suma Oriental of Tome Pires: An Account of The East, From the Red Sea to China. Written in Malacca and India in 1512 – 1515”, menyatakan sungai ini adalah laluan utama kapal-kapal besar dari seluruh dunia.

Laluan ini juga digunakan oleh Modafarxa (Sultan Muzaffar Shah) untuk membawa dan mengagihkan bekalan-bekalan ke Melaka dari Kedah, Selangor dan Muar.

Di pesisir sungai ini menurut Tome Pires lagi, terdapat sebuah padang yang terhampar luas, di mana pahlawan-pahlawan gagah sedang berlatih di atasnya. Pahlawan-pahlawan tersebut kebanyakannya datang dari Muar. Di situ terdapat bekalan makanan seperti beras, ayam, ikan, sayur dan arak tempatannya yang tersendiri.

Lebuhraya purba Sungai Sembrong ke Kuala Endau dari pantai barat ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu

Mereka juga mempunyai peraturan dan undang-undangnya yang tersendiri. Ini membuktikan bahawa di sini telah ada penempatan yang cukup berbudaya suatu ketika dahulu, tetapi telah hilang tanpa ada sesiapa yang tahu apa puncanya.

Penemuan lain yang menyokong fakta wujudnya penempatan di Bukit Inas ini, terdapat di dalam laporan Dr. Othman Yatim bertajuk “Makam-Makam Batu Aceh di Bukit Inas: Satu Laporan Awal”.

Laporan ini dituliskan selepas beliau melawat kawasan permakaman tersebut bersama Sdr. N.A Halim, seorang penulis besar di dalam bidang seni bina tradisi dan kosmologi Melayu, serta Drs. Zakaria Ahmad seorang pengarah Muzium Banda Aceh yang melawat Muzium Negara ketika itu.

Di Bukit Inas terdapat makam-makam yang dipercayai berusia sekitar 600 tahun, iaitu dari 1400 – 1600

Kedatangan mereka diundang oleh Tuan Haji Md. Khamis Jonet, setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat (PSMKBP).

Menurut Dr. Othman, di Bukit Inas ini terdapat makam-makam yang dipercayai terdiri dari golongan Diraja, bangsawan, keluarga (suami – isteri) dan rakyat biasa yang hidup di sekitar tahun 1400 – 1600. (Gambar kanan)

Fakta ini disimpulkan berdasarkan bentuk ukiran batu nisan yang ada. Ukiran nisan Batu Aceh di sini mempunyai ukiran yang lebih kurang sama dengan nisan Batu Aceh yang terlebih dahulu ditemukan di Bukit Ketupat, Jerantut Pahang. Nisan Batu Aceh di Bukit Ketupat itu antaranya adalah makam Sultan Muhammad Shah berserta kerabatnya.

Mengikut catatan sejarah, baginda mangkat sekitar tahun 1480-an. Persekitaran makam Sultan Muhammad Shah ini sama juga keadaannya seperti di Bukit Inas, yang sebenarnya terdapat banyak lagi makam-makam lama. Cuma makam-makam lain hanya terdiri dari batu sungai dan batu pejal yang agak sukar untuk dikenalpasti tahunnya. (Gambar)

Batu nisan di makam lama dekat Bukit Inas, dipercayai wujud disitu semenjak tahun 1480-an

Berdasarkan keluasan kawasan makam dan jumlah kubur yang ada, sudah cukup untuk membuktikan kepada kita bahawa di Bukit Inas ini suatu ketika dahulu pernah mempunyai penduduk yang ramai. Bukan itu saja, ahli PSMKBP percaya bahawa Tun Mamat juga dimakamkan di sini. Tun Mamat adalah seorang Bendahara Melaka sewaktu pemerintahan terakhir Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mahmud Shah.

PSMKBP menyimpulkan perkara ini berdasar catatan dalam dalam buku Ringkasan Tawarikh Orang-Orang Kaya dan Penghulu-Penghulu Batu Pahat, yang menyatakan Tun Mamat telah dimakamkan di Bukit Inas ini. Jika kenyataan di dalam buku itu dapat disahkan melalui kajian dan penyelidikan, maka dakwaan PSMKBP sememangnya benar, salah satu Batu Aceh yang ada di sini adalah makam Tun Mamat.

Penemuan makam-makam yang mewakili setiap lapisan masyarakat dari golongan rakyat biasa sehingga golongan Diraja di sini, membuktikan kepada kita adanya sebuah penempatan yang sangat bersejarah telah lama wujud sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka. Penempatan yang hilang ini mungkin telah wujud paling kurang sebelum tahun 1600 Masihi. Jika benar, maka di sini adalah sebuah penempatan yang tertua di Batu Pahat.

Sewaktu penduduk awal meneroka kawasan Bukit Inas, mereka mengatakan kawasan permakaman ini telah sedia ada di sini. Orang yang menemui makam-makam ini adalah Wak Dakam. Setelah itu atas usahanya sendiri, beliau menjaga dan memelihara kawasan makam tersebut. Sekarang usaha murni itu diteruskan oleh anaknya sehingga sekarang, Salleh Abu Dakam.

Dr. Othman Yatim percaya bahawa Bukit Inas ini adalah sebuah penempatan yang tertua di Batu Pahat, yang harus dibuktikan melalui kajian dan penyelidikan yang terperinci. Tegas beliau lagi, tapak permakaman Bukit Inas ini teramat penting untuk diberi perhatian secara serius kerana ia mempunyai potensi pelancongan yang amat tinggi.

Artikel pertama berkaitan penemuan makam golongan Diraja di Bukit Inas tersiar dalam Berita Harian sejak 1961

Tapi sayangnya, sehingga sekarang kawasan bersejarah ini lebih terkenal di kalangan pemuja nombor ekor dan pemburu “harta karun” saja.

Adalah menyedihkan, apabila tiada badan-badan bertanggungjawab seperti Jabatan Warisan Negara (JWN) atau Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang mahu ambil peduli tentang perkara ini.

Walaupun setelah hampir 40 tahun makam-makam ini ditemui, tiada langsung tanda inisiatif dari badan bertanggungjawab untuk memelihara ia walaupun dengan sebatas papan tanda informasi sejarah. Sedangkan artikel pertama berkaitan penemuan makam golongan diraja di Bukit Inas ini, telah tersiar dalam Berita Harian sejak 8 Januari 1961. (Gambar kanan)

Walaupun banyak bahan sejarah di sini telah musnah akibat fenomena semula jadi, penerokaan hutan, pembangunan dan pemburu harta karun yang tidak bertanggungjawab, ianya bukan alasan untuk badan bertanggungjawab terus membiarkan bahan-bahan ini pupus ditelan zaman.

Buku “Batu Aceh Johor Dalam Perbandingan”

Badan-badan seperti JWN dan YWJ harus mengambil peduli dan melakukan sesuatu. Kajian berkenaan Batu-Batu Aceh di sini pernah diterbitkan sejak 1987 sehingga 2019 menunjukkan perkara ini pasti diketahui badan bertanggungjawab.

Pihak JWN dan YWJ juga sudah banyak kali datang melawat ke kawasan makam ini, agak mustahil jika papan tanda pun tak mampu diberikan. (Gambar kiri)

Dana penyelidikan harus dikeluarkan, tanah makam-makam Batu Aceh ini harus direzabkan, persekitaran kawasan makam ini harus dibaik pulih, papan-papan tanda sejarah harus dipacakkan, kawasan permakaman ini harus diusahakan untuk diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi.

Yang paling penting, bangunkan modus operandi jangka panjang yang serius untuk merangsang minat generasi muda seperti pelajar sekolah dan mahasiswa tempatan untuk mendekati sejarah-sejarah yang ada.

Sepatutnya telah banyak perkara yang dapat dilakukan oleh jabatan-jabatan ini semenjak 1987 sehingga kini.

Buku “Batu Aceh Sejarah Warisan Johor”

SUMBER RUJUKAN:
1. Kertas Kerja Pembentangan Azlan Sharif “Cadangan Pewartaan Tapak Warisan Bukit Payong (Bukit Payong Geopark)” di Pejabat Daerah Batu Pahat Pada 10/11/2019
2. https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/beritaharian19610108-1.2.41?ST=1&AT=search&k=Makam%20raja2%20melayu%20hutan%20johor&QT=makam,raja2,melayu,hutan,johor&oref=article
3. H.W Lake & H.J Kelsall, A Journey of The Sembrong River From Kuala Endau to Batu Pahat
4. Suma Oriental of Tome Pires: An Account of The East, From the Red Sea to China. Written in Malacca and India in 1512 – 1515
5. Dr. Othman Yatim, Makam-makam Lama di Buktit Inas, Batu Pahat: Satu Laporan Awal
6. https://www.malaysiakini.com/news/371128
7. https://www.malaysiakini.com/news/491489
8. https://www.malaysiakini.com/news/446789

Iltizam Iman merupakan penulis yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Beliau telah menerbitkan sebuah buku berjudul “Menolak Perintah : Catatan dan Esei Mencari Nafas Pembebasan”.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top