BM | EN | 中文

Reman wanita, tiga lelaki terlibat kemalangan maut dengan anggota polis dilanjut sehari

Polis-Johor-Ayob-Khan.jpg

Datuk Ayob Khan (Gambar Ehsan FB Polis Johor)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 NOV: Tempoh tahanan reman terhadap seorang wanita dan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kenderaan yang menyebabkan kemalangan sehingga mengorbankan seorang anggota polis, Ahad lepas, dilanjutkan sehingga esok.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerusi kenyataan berkata tempoh tahanan reman terhadap kesemua suspek yang bermula 2 Nov dan sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehari lagi bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Katanya siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Advertisement

Ahad lepas, kesemua suspek rakyat tempatan yang berumur antara 23 dan 27 tahun itu ditahan dalam serbuan di Kampung Melayu Seelong dan Senai dekat Kulai serta Kampung Melayu Pandan, di sini, antara pukul 2.00 petang dan 9.00 malam.

Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 5.00 pagi itu, kereta Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki telah melarikan diri daripada ditahan sehingga memaksa dua anggota Unit Kenderaan Peronda (MPV) dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn, termasuk mangsa mengejar mereka, sebelum kenderaan polis itu terbalik dan berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Aruz, di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja, di sini.

Kejadian mengakibatkan Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, yang berasal dari Sibu, Sarawak, maut selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala, manakala rakan setugasnya Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, cedera parah.

Advertisement

Ayob Khan pada sidang media Isnin lepas berkata hasil siasatan mendapati wanita berkenaan tidak terlibat secara langsung dalam kejadian itu kerana hanya menjadi penyewa Perodua Myvi daripada sebuah syarikat penyewa kenderaan, sebelum meminjamkan ia kepada teman lelakinya yang merupakan salah seorang penumpang dalam kenderaan itu.

Beliau berkata hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dengan dua daripadanya turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top