BM | EN | 中文

Remaja antara dua maut dalam kemalangan libat empat motosikal di Batu Pahat

Remaja-antara-dua-maut-dalam-kemalangan-libat-empat-motosikal-di-Batu-Pahat.png
Advertisement

BATU PAHAT, 30 NOV: Seorang remaja lelaki antara dua yang maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Jalan Johor Bahru-Melaka, berhampiran Sungai Lurus, Senggarang, dekat sini, malam tadi.

Turut terkorban ialah pemuda berusia 24 tahun yang menunggang motosikal dinaiki remaja berusia 16 tahun itu dalam kejadian kira-kira 9 malam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim berkata kemalangan berkenaan berlaku apabila pemuda berusia 24 tahun itu gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya dari arah Batu Pahat ke Senggarang, lalu bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan.

Advertisement

Akibat pertembungan itu, penunggang tersebut bersama pemboncengnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Selain dua motosikal yang bertembung, kemalangan itu turut membabitkan dua lagi motosikal lain yang gagal mengelak dua motosikal di hadapannya yang telah terjatuh di atas jalan.

“Tiga penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu yang berusia sekitar 16 hingga 18 tahun mengalami kecederaan parah dan kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Advertisement

Bagaimanapun, tiada identiti mangsa dikeluarkan.

Jelasnya lagi, kemalangan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dilakukan pihak polis.

Terdahulu, gambar dan video berkaitan kemalangan berkenaan tular dalam media sosial sejak malam tadi.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top