JOHOR BAHRU, 20 OGOS: Dakwaan kononnya harga hartanah di Pasir Gudang menurun tidak didokong oleh mana-mana statistik mahupun kajian, menurut Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Johor Datuk Steve Chong Yoon On.
Menurutnya, dakwaan tersebut berkait dengan insiden pencemaran di Pasir Gudang kebelakangan ini namun ianya tidak benar terjadi seperti yang didakwa.
Beliau bagaimanapun berkata dakwaan tersebut tidak harus dipandang ringan oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
“Setakat ini saya melihat kerajaan negeri sudah melakukan yang terbaik bagi menangani insiden pencemaran disana,” katanya apabila dihubungi Johorkini, hari ini.
Pandangan Chong tersebut selari dengan kenyataan Exco Perumahan Johor, Dzulkefly Ahmad yang turut merujuk dengan agensi berkaitan untuk mendapatkan pengesahan sebaik timbulnya dakwaan harga hartanah menurun di Pasir Gudang.
Chong bagaimanapun berkata kerajaan negeri dan agensi-agensi terlibat tidak boleh membiarkan isu pencemaran tersebut berlarutan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.
Sabtu lalu, apabila diajukan soalan tersebut oleh wartawan, Dzulkefly yang juga Adun Kota Iskandar berkata, sebarang penurunan harga hartanah yang mungkin berlaku di Pasir Gudang adalah bersifat sementara.
Tambahnya lagi, perkara tersebut kebiasaanya berlaku dalam bentuk jualan sub-sales, dimana ejen hartanah kebiasaannya mendapat maklumbalas lebih cepat dari pembeli yang berminat atas faktor berlakunya penurunan harga.
Johorkini