BM | EN | 中文

RAMPASAN DADAH LEBIH RM200,000 DI YONG PENG, WARGA VIETNAM ANTARA DITAHAN

dadah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 25 SEPT: Dua wanita rakyat Vietnam dan seorang lelaki tempatan antara yang ditahan bersama dadah bernilai lebih RM200,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kota Impian 2, Yong Peng, dekat Batu Pahat.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, lelaki berumur 43 tahun dan dua wanita berumur 29 tahun itu ditahan dua hari lepas kira-kira pada jam 11 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.

“Dadah yang dirampas melibatkan 5.082 kilogram heroin, 444 gram syabu, yang diletakkan di dalam bungkusan serbuk teh serta 450 biji pil Eramin 5, yang kesemuanya bernilai RM232,230,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Advertisement

Kamaruddin berkata, polis turut merampas sebuah kereta Volvo, Proton Satria dan Toyota Wish, seutas jam tangan jenama Omega serta wang tunai bercampur-campur berjumlah RM1,214.

Beliau berkata, siasatan awal mempercayai kedua-dua wanita terbabit adalah rakan lelaki itu dan keduanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Katanya, lelaki terbabit pula mempunyai lima rekod berkaitan dadah dan satu rekod mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan iaitu mencuri sebuah kenderaan motor.

Advertisement

“Setakat ini, polis sedang menyiasat lanjut bagi memastikan sama ada kesemuanya terlibat dalam pengedaran dadah atau hanya sebagai penjaga rumah itu,” kata Kamaruddin.

Tambahnya, polis juga sedang menyiasat lanjut sama ada rumah itu milik lelaki berkenaan atau pun disewa.

Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 30 Sept ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Advertisement

Sumber: Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top