BM | EN | 中文

Rakyat muak dengan kenyataan pimpinan Umno, kata Bersatu Johor

Md-Nasir-Hashim-Bersatu-Johor.jpg

Gambar Fail

Advertisement

JOHOR BAHRU, 31 MAC: Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Johor, Ir Md Nasir Hashim berkata, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad perlu menghentikan politik sempit dan cuba menjadi hero di dalam Umno.

Kata Md Nasir, pengerusi Umno Johor itu sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada agenda memerangi pandemik Covid-19.

“Kami mewakili Bersatu dan rakyat negeri Johor sudah terlalu muak dan merasa sedih dengan kenyataan-kenyataan pemimpin Umno di dalam dan di luar kerajaan hari ini.

Advertisement

“Sebagai Menteri Besar, beliau sepatutnya menumpukan usaha meningkatkan ekonomi dan membangunkan negeri serta bekerjasama baik dengan pasukan pelbagai parti dalam Perikatan Nasional (PN),” kata Md Nasir dalam satu kenyataan.

Hasni Mohammad dalam perhimpunan agung Umno (PAU) 2020 yang berakhir Ahad lalu berkata, sokongan kepada PN di parlimen Pagoh kurang daripada 20 peratus.

Hasni pada perbahasan ucapan dasar presiden Umno tempoh hari mendakwa, tinjauan di Pagoh mendapati sokongan terhadap PN hanyalah sebanyak 19.8 peratus.

Advertisement

Pengerusi Umno Johor itu turut dilaporkan berkata, sokongan kepada BN adalah 24.4 peratus manakala Muafakat Nasional (MN) 37.1 peratus.

Hasni turut mendakwa PN menawarkan 15 daripada 26 kerusi pilihan raya yang berpotensi kalah kepada Pas Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Hasni berkata, tawaran itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sewaktu menerima kunjungan kedua-dua pemimpin Pas itu.

Advertisement

Justeru itu Md Nasir mengingatkan, kerajaan Johor yang diterajui oleh Umno boleh tumbang pada bila-bila masa.

Tambah Md Nasir, sebagai seorang Menteri Besar, Hasni sepatutnya lebih berhemah dan menghormati Bersatu.

“Jika sikap angkuh dan sombong beliau berterusan, hubungan baik antara parti yang membentuk kerajaan negeri akan tercalar,” katanya lagi.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top