BM | EN | 中文

Rakyat Mersing akan dapat manfaat dari program pemerkasaan dan keusahawanan ECER

gunung-arong-mersing.jpg

Pemandangan pantai Mersing dari Gunung Arong (gambar Ehsan mersing.gov.my)

Advertisement

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Rakyat Mersing, yang bakal menikmati pembangunan dalam projek pertanian dan pelancongan yang sedang dilaksanakan, akan turut mendapat manfaat daripada program “empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)” dan “entrepreneur ECER Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)”.

Dalam kenyataan baru-baru ini, ECERDC berkata program itu bertujuan membangunkan usahawan mikro dan PKS yang mampan serta bakat masa depan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti tempatan.

Dari 2018 sehingga kini, katanya ECERDC melalui kerjasama strategiknya dengan Agrobank dan Maybank, telah membangunkan seramai 92 usahawan di Mersing, Johor yang telah menerima pinjaman untuk menyokong dan mengembangkan perniagaan mereka.

Advertisement

“Seramai 31 usahawan lagi kini sedang menjalani pembangunan kualiti produk bersama SIRIM sebagai persediaan untuk menembusi pasaran yang Iebih luas.

“Program tersebut bukan sahaja telah mengupayakan para usahawan yang terlibat untuk bertahan, malah mengembangkan perniagaan mereka sewaktu pandemik dengan memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh mengenai e-dagang dan pemasaran dalam talian daripada program itu dan bantuan kewangan yang disediakan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat berkata kerajaan Persekutuan melalui ECERDC komited untuk meneruskan program-program seperti empower ECER dan entrepreneur ECER untuk memastikan golongan B40 di Mersing diberikan kemahiran, pengetahuan dan peluang untuk mengekalkan perniagaan mereka, selain meningkatkan prestasi akademik dan memperoleh kemahiran yang boleh dipasarkan yang akan membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Advertisement

ECERDC berkata visinya adalah mentransformasi ECER menjadi sebuah hab pengeluaran makanan utama negara melalui inisiatif agrofood@ECER yang kini dalam perancangan, dan pada masa sama, menangani isu jaminan bekalan makanan negara serta mewujudkan pekerjaan dan peluang keusahawanan untuk rakyat.

Katanya antara projek yang sedang dijalankan ialah Lembah Tenusu Jemaluang (JDV), projek perniagaan tani utama yang memberi tumpuan kepada penternakan lembu tenusu. Apabila siap kelak, JDV dijangka akan meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11 peratus.

ECERDC tetap komited dalam memastikan projek pelancongan berimpak tinggi seperti Kampungstay di Air Papan, pembangunan inap desa berasaskan komuniti, Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar, yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi penduduk tempatan dan pelancong serta Rainforest Discovery Centre di Peta yang terletak di Taman Negara Endau-Rompin (Johor) berjalan seperti dirancang.

Advertisement

“Projek-projek ini akan membawa faedah jangka panjang kepada rakyat di Mersing.

“Walaupun terdapat kekangan akibat pandemik yang telah mempengaruhi kemajuan sosio ekonomi Mersing yang banyak bergantung kepada kegiatan pelancongan, ECERDC optimis bahawa sektor ini akan kembali pulih, terutamanya dengan perkembangan positif mengenai kelonggaran sekatan perjalanan untuk rakyat yang telah melengkapkan vaksinasi mereka,” katanya.

Baidzawi berkata ECERDC, bersama dengan semua pihak yang terlibat dari kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan akan terus bekerjasama untuk membangunkan daya saing dan ketahanan rakyat agar mereka dapat berkembang dalam realiti baharu.

Advertisement

“ECERDC turut yakin bahawa projek pertanian dan pelancongan yang sedang dilaksanakan akan membawa kesan limpahan kepada rakyat memandangkan kedua-dua sektor ini kekal menjadi sumber aktiviti ekonomi yang berdaya maju dalam jangka masa terdekat: katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top