KOTA TINGGI, 19 FEB : Sebahagian masyarakat masih tidak jelas mengenai manfaat yang diterima mereka melalui skim-skim pemberian yang disediakan kerajaan.
ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, skim seperti i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kebanyakan rakyat rata-rata menganggap mereka sekadar menyumbang wang kepada kerajaan.
Menurutnya, sebaliknya mereka tidak tahu apa manfaat yang bakal kerajaan berikan kembali kepada pencarum.
“Majlis Pelancaran i-Suri KWSP dan Pengupayaan Ekonomi Golongan B40 2020 Peringkat DUN Johor Lama ini merupakan program penting di mana sebahagian daripada kita tidak jelas apa program i-Suri KWSP atau apa manfaat yang boleh diterima.
“Melalui program ini pegawai KWSP akan terangkan berapa kita perlu sumbang dan berapa kita akan dapat. Sebagai rakyat Malaysia kena tahu apa kerajaan berikan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran i-Suri KWSP dan Pengupayaan Ekonomi Golongan B40 2020 Peringkat DUN Johor Lama di pekarangan Pejabat DUN Johor Lama, di sini semalam.
Program anjuran ADUN Johor Lama dengan kerjasama KWSP Johor Bahru dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu dimulakan dengan taklimat dari Jabatan Penerangan Kota Tinggi.
Program disusuli dengan taklimat dari pihak Baitulmal Kota Tinggi sebelum diakhiri dengan taklimat berkenaan i-Suri KWSP.
Hadir sama, wakil Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Taufik Hidayat Muhamad; Pegawai Penerangan Daerah Kota Tinggi, Noasilah Ibrahim; Amil Baitulmal MAINJ Daerah Kota Tinggi, Nur Hisham Md Sawal dan Ketua Seksyen Caruman Kewangan KWSP Johor Bahru, Normah Abd Rasip.
Rosleli turut berkata, pada program sama pihaknya turut menyediakan pendaftaran e-kasih bagi mereka yang berkelayakan.
“Ini yang saya boleh lakukan untuk pengundi dalam DUN ini. Kita harap maklumat diterima boleh disampaikan kepada mereka yang tidak hadir untuk mendapat manfaat bersama,” katanya lagi.
Johorkini