ISKANDAR PUTERI, 31 DIS: Rakyat negeri ini diseru untuk bersama dengan kerajaan negeri dalam menjayakan inisiatif Johor Bersih dan Lestari berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030).
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, seruan itu bagi memastikan alam sekitar terpelihara seiring dengan kepesatan pembangunan.
Katanya, pihaknya yakin setiap pihak mempunyai peranan dalam menjayakan perkara tersebut.
“Tahun 2019 cukup bermakna buat diri saya apabila diberi tanggungjawab sebagai seorang exco dan saya bertekad untuk memastikan alam sekitar di negeri ini dipelihara dan dipulihara.
“Bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2020, saya menyeru penglibatan semua lapisan masyarakat untuk memastikan kebersihan dalam menarik pengunjung untuk melancong di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Chen Choon, insiden pencemaran kimia di Sungai Kim Kim turut perlu dijadikan iktibar buat semua pihak, khususnya pemain industri.
“Saya mengingatkan semua pihak untuk mematuhi undang-undang agar kejadian seperti itu tidak berulang.
ADUN Jementah itu turut mengingatkan masyarakat untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dalam urusan harian selain berusaha mengurangkan penjanaan sisa makanan.
JohorKini