Oleh: Khairul Mohd Ali
PONTIAN, 14 NOV: Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang bersih daripada isu rasuah dan salah guna kuasa.
Peringatan itu dibuat Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, itu antara perubahan yang dilakukan pemimpin PH ketika ini.
“Pemimpin kerajaan dahulu sering menggunakan isu perkauman untuk memecah belah rakyat bagi memastikan mereka terus berkuasa.
“Mereka tidak mahu diadili di mahkamah (atas pelbagai tindakan salah guna kuasa), kita (PH) mahu pulihkan ekonomi, ini tanggungjawab kita bersama, untuk pastikan Malaysia baharu bebas rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Tapak Pasar Malam Kukup Laut, di sini malam tadi.
Beliau turut menyeru pengundi Parlimen Tanjung Piai untuk menghormati jasa dan pengorbanan penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.
“Allahyarham merupakan Ahli Parlimen yang amat menitikberatkan masyarakat di sini, sukar sebenarnya bagi seorang Ahli Parlimen mendapatkan peruntukan sebanyak RM19 juta dalam tempoh setahun.
“Itu antara jasa Allahyarham, kita tidak boleh lupakan. Jadi, masyarakat diingatkan untuk menghargai jasa beliau dengan mengundi calon PH, Karmaine Sardini, Sabtu ini,” tambahnya lagi.
JohorKini