BM | EN | 中文

Rakyat akan terkesan jika Muhyiddin abai kebimbangan Fitch

Muhyiddin-Yassin.jpg

Gambar Ehsan SCMP

Advertisement

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Rakyat akan menanggung harga lebih tinggi jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengenepikan dua kebimbangan utama dikemukakan badan penarafan Fitch Ratings, mengenai ketidakstabilan politik, piawaian tadbir urus serta ketelusan yang rendah.

Ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin harus berhenti mengorbankan kepentingan negara demi survival politik dirinya dengan keengganan membenarkan usul tidak percaya di Parlimen bagi menyanggah kepercayaan umum bahawa beliau sudah kehilangan majoriti.

Katanya keputusan Fitch menyemak turun penarafan kredit antarabangsa Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Telekom Malaysia Bhd menunjukkan kesan negatif penyemakan turun penarafan kredit negara Malaysia daripada ‘A-‘ kepada ‘BBB+’.

Advertisement

“Ini merupakan harga yang perlu ditanggung syarikat-syarikat Malaysia disebabkan penyemakan turun Malaysia, yang disusuli kehilangan keyakinan oleh pelabur,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, sekiranya Perdana Menteri masih enggan mengendahkan dua kebimbangan Fitch, usaha Kementerian Kewangan untuk menangani hutang kerajaan yang meningkat melalui konsolidasi fiskal pada tahun depan akan gagal.

Ujarnya pada penghujung September 2020, keseluruhan pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan RM1.257 trilion, ataupun 87.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Advertisement

“Ini merupakan lebih tinggi daripada yang direkodkan pada zaman kerajaan PH. Hutang persekutuan pada penghujung September berjumlah RM874.3 bilion ataupun 60.7 peratus KDNK.

“Namun, Kementerian Kewangan dengan licik menggunakan pengiraan had perundangan ke atas hutang persekutuan pada 56.6% KDNK, dan bukan had terkini iaitu 60 peratus.

“Defisit tahun ini telah meningkat kepada 6 peratus KDNK dan langkah konsolidasi fiskal tahun depan akan mengurang defisit kepada 5.4 peratus.

Advertisement

“Sepatutnya Kementerian Kewangan meningkatkan perbelanjaan melalui pinjaman untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menyelamatkan pekerjaan, perniagaan serta mata pencarian.

“Sebaliknya, Kementerian Kewangan memilih untuk mengurangkan perbelanjaan pada tahun depan untuk menjaga penarafan kredit negara.

“Jelas bahawa langkah konsolidasi fiskal untuk tahun depan tidak meyakinkan Fitch,” kata Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan.

Advertisement

Tambah beliau, ini meletakkan ekonomi Malaysia dalam keadaan “sudah jatuh ditimpa tangga”, di mana kerajaan tidak menyediakan perbelanjaan mencukupi untuk rakyat, dan tidak mampu meyakinkan pakar penarafan bebas tentang kualiti kelayakan kredit negara kita.

“Perdana Menteri sememangnya tahu bahawa penarafan kredit negara kita sebenarnya tidak dapat diselamatkan kerana kegagalan beliau menangani dua kebimbangan politik, iaitu ketidakstabilan politik dan kelemahan tadbir urus.

“Beliau sepatutnya meningkatkan perbelanjaan dan pinjaman demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian pada tahun depan.

Advertisement

“Beliau patut memperbetulkan hala tuju dan meningkatkan perbelanjaan sebanyak RM45 bilion pada tahun hadapan bagi melindungi pertumbuhan ekonomi, iaitu jumlah yang sama yang dibelanjakan dalam pakej rangsangan tahun ini,” ujarnya lagi.

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top