JOHOR BAHRU, 1 SEPT: Kesatuan Ragbi Johor (JRU) meletakkan harapan tinggi untuk meraih pingat emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun hadapan.
Presidennya Datuk Mohd Noorazam Osman berkata sasaran itu diperkuatkan lagi apabila Johor menjadi tuan rumah penganjuran sukan dwitahunan yang memasuki edisi ke-20.
Beliau berkata pihaknya kini sedang giat mengenal pasti pemain berpotensi serta bakat-bakat baharu sebelum memuktamadkan pasukan negeri pada Januari tahun depan.
Menurutnya, pencarian itu turut melibatkan skuad ragbi wanita yang bakal beraksi untuk tahun kedua selepas membuat kemunculan sulung dalam temasya sukan itu di Perak pada tahun lepas.
“Kita buat masa ini sedang kenal pasti bakat baharu yang datang daripada sekolah-sekolah sukan di negeri ini antaranya atlet di Sekolah Sukan Tun Hussein Onn di Kluang.
“Mereka ini kebanyakannya bukan main ragbi tetapi kita tarik mereka masuk ragbi, antaranya atlet olahraga, angkat berat, memanah, bola jaring dan hoki,” katanya, lapor Bernama.
Mohd Noorazam berkata langkah itu dilakukan kerana beliau percaya setiap atlet yang berpotensi itu mempunyai kekuatan masing-masing dan boleh dilentur dalam sukan ragbi.
Sementara itu, bagi skuad ragbi lelaki pula, beliau berkata antara atlet yang akan dipilih mewakili Johor dalam SUKMA 2020 termasuk mereka yang beraksi bersama skuad bawah 18 tahun (B-18) negara yang muncul juara di Kejohanan Ragbi Asia 7s Bawah 18 (B18) di Kunming, China, baru-baru ini.
“Terdapat juga atlet di negeri ini yang berentap dalam Ragbi Asia Bawah 20 (B20) di Laos yang akan bermain untuk SUKMA nanti.
“Harap tahun depan skuad ragbi lelaki dapat buat yang terbaik, walaupun kita dapat tempat kelima dalam SUKMA Perak 2019 yang ketika itu, saya percaya kita melalui laluan sukar kerana berada dalam kumpulan maut,” katanya.
Tambah beliau, sebelum ni skuad ragbi lelaki sering berada di tempat empat teratas dalam temasya-temasya sukan SUKMA yang terdahulu.
Johorkini