BM | EN | 中文

PVATM Johor rayu kerajaan beri elaun bulanan kepada penerima PJM

PVATM.png
Advertisement

KLUANG, 27 SEPT: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor merayu agar kerajaan dapat memberikan elaun ‘khas’ secara bulanan kepada semua penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM), seperti dicadangkan Kementerian Pertahanan sebelum ini.

Yang Dipertuanya Ibrahim Yahya berkata pihaknya amat gembira dan berbesar hati sekiranya cadangan berkenaan menjadi kenyataan, yang membolehkan golongan itu menerima manfaatnya.

Beliau berkata ia bukan sahaja menghargai perjuangan warga veteran ATM sepanjang perkhidmatan mereka, malah, secara tidak langsung dapat membantu golongan berkenaan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Advertisement

“Walaupun jumlah yang dicadangkan itu hanya antara RM300 dan RM500, namun, ia dilihat sudah memadai untuk membantu anggota veteran ini menjalani kehidupan mereka di samping pencen bulanan yang diterima.

“Elaun ini juga mampu mengubah kehidupan veteran ATM yang tidak berpencen kerana mereka terpaksa melakukan pekerjaan sendiri bagi menampung keperluan hidup harian,” katanya.

Ibrahim berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra bersama veteran ATM negeri Johor di sini semalam, yang dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Advertisement

Menurut Ibrahim, PVATM Johor amat berharap cadangan itu mendapat perhatian kepimpinan tertinggi negara kerana apa yang dilakukan oleh semua veteran ketika perkhidmatan mereka adalah demi kepentingan negara semata-mata.

“Kita berharap ianya dapat diluluskan, sekali gus mampu memberi sedikit kelegaan kepada mereka,” katanya.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top