JOHOR BAHRU, 28 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Putrajaya mempunyai bajet mencukupi bagi melaksana Program Sarapan Percuma (PSP) yang akan dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun 2020.
Perdana Menteri itu berkata program PSP akan memanfaatkan sekitar 2.7 murid sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan seluruh negara.
Selain itu, Dr Mahathir juga menambah yang kesemua cadangan akan diperhalusi kerajaan, termasuk menggunakan hasil kutipan cukai gula bagi menampung bajet yang akan diperkenalkan.
“Semua cukai dikutip akan diagihkan kepada kementerian dan agensi mengikut keperluan. Kalau ada keperluan untuk peruntukan tambahan, kita akan pertimbangkan, kalau kita mampu, kita akan bagi.
“Tetapi kita harus ingat kerajaan terdahulu meninggalkan banyak hutang dan kerajaan kini kena bayar (hutang),” beliau dipetik oleh Bernama
Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Hanoi, Vietna.
Beliau ditanya demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang berkata murid-murid dapat menikmati sarapan berkhasiat secara percuma bermula sesi persekolahan tahun 2020.
Putrajaya dijangka perlu membelanjakan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun, bergantung kepada menu sajian PSP.
Menerusi akaun Facebook dan Twitternya, Maszlee berkata pohaknya kini masih meneliti kos diperlukan dimana sebuah jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan untuk memperincikan peruntukan yang bakal digunakan, termasuk penggunaan dana daripada cukai gula.
Sumber: Bernama