BM | EN | 中文

Putra gesa SPRM siasat kakitangan Jabatan Perhutanan negeri dan persekutuan

Parti-Bumiputera-Perkasa-Malaysia-PUTRA.jpg

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua kakitangan Jabatan Perhutanan negeri dan juga persekutuan.

Presiden PUTRA, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, berkata punca utama hutan diceroboh serta diteroka secara haram disebabkan berlaku ketirisan dan kebocoran oleh pihak berkenaan.

Beliau dilaporkan Malaysia Gazette merujuk isu di Raub, Pahang baru-baru ini membabitkan apa yang didakwanya sebagai aktiviti pencerobohan hutan secara haram akibat wujudnya unsur rasuah.

Katanya, aktiviti pencerobohan hutan secara haram tidak akan berlaku, dan mustahil pekebun terbabit dapat mengusahakan tanaman durian Musang King sehingga lebih 10 tahun tanpa disedari kerajaan negeri.

“Semuanya masalah penguatkuasaan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ada unsur rasuah di situ. SPRM perlu turun menyiasat secara telus,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau menyatakan rasa terkejut apabila kerajaan Pahang mendedahkan tanah berkeluasan kira-kira 4,400 hektar di sekitar Raub diteroka secara haram oleh 111 penduduk yang mengusahakan tanaman durian Musang King.

Berikutan perbuatan itu, kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram itu termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Ibrahim berkata, hasil siasatan itu nanti, SPRM wajar mendedahkan kepada umum siapa dalang di belakang penerokaan haram tersebut.

Semalam Putra menerusi Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman dan Naib Ketua Wanita Putra, Roshanita Mohd Bashir membuat dua laporan berhubung kegiatan haram itu.

Laporan pertama dibuat di Balai Polis Daerah Selayang dan laporan kedua di ibupejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 12 tengah hari yang sama.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top