BM | EN | 中文

Pusat setuju beri geran khas RM30 juta ringankan beban kumpulan rentan di Johor

Hasni-Muhyiddin.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 7 DIS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk memberikan geran khas berjumlah RM30 juta, bagi meringankan beban kumpulan rentan di negeri ini, yang terjejas akibat COVID-19.

Perkara berkenaan diumum Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad semasa menggulung ucapan Belanjawan Johor 2021, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini semalam.

“Yang Berhormat tuan Speaker, pada pagi ini sukacita saya memaklumkan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan geran khas berjumlah RM30 juta, untuk meringankan beban kumpulan rentan yang terjejas dengan COVID-19 di Johor. Terima kasih Yang Berhormat Perdana Menteri,” katanya.

Advertisement

Sementara itu, Hasni mengumumkan kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, masing-masing akan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 secara ‘one-off’.

Beliau berkata peruntukan terbabit diberikan selepas Kerajaan Negeri Johor menyedari bahawa isu berkaitan COVID-19 semakin serius.

“Dalam konteks ini, tiada sesiapa pun layak untuk mengiktiraf diri mereka sebagai ‘hero’ atau ‘pahlawan’ dalam memperkasakan sistem demokrasi.

Advertisement

“Saya berpendapat bahawa sesiapa pun yang menjadi kerajaan, adalah menjadi tugas hakiki mereka untuk memperkuatkan demokrasi dan sentiasa berpegang pada pegangannya,” katanya.

Berhubung saranan pemotongan elaun ADUN untuk dimasukkan ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor seperti dibangkitkan Aminohuda Hassan (PH-Parit Yaani), Tan Chen Choon (PH-Jementah) serta Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas), Hasni berkata beliau berpendapat Kerajaan Negeri Johor harus lebih realistik dan perlu memikirkan kesan jangka panjang, apabila sesuatu keputusan dibuat.

Menurut Hasni, beliau bukan ‘lari’ daripada tanggungjawab sebaliknya belajar daripada teladan dan tidak mahu barisan kepimpinannya dipersalahkan ekoran keputusan dibuat kelak.

Advertisement

“Saya menghargai cadangan yang telah disampaikan. Namun, sumbangan untuk Tabung Bencana Negeri Johor hendaklah tidak bermotifkan untuk menarik simpati rakyat mahupun retorik semata-mata.

“Saya berharap janganlah politikkan isu potongan gaji dan elaun ini. Pada hemat saya, keikhlasan diri dalam menderma atau berinfaq, adalah lebih baik daripada terpaksa menderma. Biarlah tangan kanan yang memberi, tanpa diketahui oleh tangan kiri,” katanya.

Menurut Hasni, sehingga kini jumlah kutipan Tabung Bencana Negeri Johor adalah sebanyak RM32.3 juta.

Advertisement

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM28.8 juta telah dibelanjakan untuk pembelian peralatan bagi pasukan barisan hadapan, bantuan makanan asas kepada mangsa COVID-19, peralatan di pusat kuarantin dan sebagainya.

“Dengan kesempatan ini, saya menyeru kepada semua Ahli Dewan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta serta individu, untuk terus menyumbang ke dalam akaun Tabung Bencana Negeri Johor,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top