KLUANG, 27 SEPT: Pakatan Harapan (PH) Simpang Renggam melalui pusat komuniti DUN Layang-Layang memberi tumpuan kepada usaha kebajikan para penduduk di kawasan ini.
Menurut penyelaras pusat komuniti DUN Layang-Layang, Marina Ibrahim sehingga semalam, genap sepuluh hari pejabat pusat komuniti Layang-Layang beroperasi.
Semenjak dilancarkan pada Hari Malaysia 16 September lalu, pihaknya tidak berhenti merancang aktiviti yang boleh dijalankan untuk membantu warga Layang-layang.
“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan. Saya gembira dapat bertemu penduduk kampung.
“Ada dari kalangan mereka yang sudah mengenali saya tetapi baru pertama kali bersua muka. Salam perkenalan saya ucapkan,” kata Marina dalam satu kenyataan hari ini.
Hadir sama pada program tersebut adalah Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali merangkap Naib Pengerusi DAP Johor bersama sukarelawan.
“Semalam saya telah menjalankan aktiviti edaran bakul makanan buat warga Kampung Sri Pekan. Kampung yang terletak di hujung DUN Layang-layang ini berada betul-betul bersempadan parlimen Bandar Tenggara.
“Kebanyakan penduduk terdiri daripada bekas-bekas pekerja Estet.
“Pada masa yang sama, saya juga turut mengedarkan hampir 70kg ikan pelaling untuk penduduk kampung ini.
“Cuaca cukup baik. Program kami bermula sekitar jam 12.00 tengah hari dan tamat pada jam 1.00 petang. Semua sumbangan telah habis diedarkan kepada keseluruhan 47 keluarga yang tinggal di Kg Sri Pekan,” katanya lagi.
Menurut Marina pertemuan turut diadakan bersama PH Simpang Renggam bertempat di Pusat Komuniti Layang-Layang dihadiri pengerusinya Haji Khairuddin, Timbalan Pengerusi merangkap Pengarah Jentera Pilihan Raya DAP Johor Teo Nie Ching dan rakan parti komponen dari PKR dan AMANAH.
“Tujuan pertemuan diadakan adalah untuk mendapatkan pandangan serta cadangan program-program santuni rakyat di DUN Layang-layang.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pakatan Harapan Simpang Renggam atas input serta komitmen yang telah diberikan.
“Pusat Komuniti Layang-layang akan melipat gandakan usaha untuk kemenangan Pakatan Harapan di DUN ini,” katanya lagi.
Johorkini