BM | EN | 中文

Pulihkan ekonomi, parlimen wajar bersidang

parlimen_malaysia.jpg
Advertisement

Oleh : Luthfi Yusri dan Nazurah Mansor

Pasca pengumuman YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu mengenai pembukaan semula aktiviti ekonomi secara terkawal dan berhati-hati, pasti membuka harapan penggerak ekonomi berskala kecil dan besar di negara kita.

Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 – itu belum dibenarkan.

Advertisement

Dimaklumkan juga kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula pada 4 Mei ini.

Hakikatnya, pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan menjadi panduan kepada semua pihak bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dibasmi sepenuhnya.

Kelulusan pengoperasian yang diberikan walau bersyarat bertujuan membantu menangani masalah ekonomi rakyat terutama golongan peniaga melalui peningkatan semula pendapatan persendirian daripada perniagaan yang dijalankan.

Advertisement

Liabiliti Kerajaan

Dalam sidang media tempoh hari, negara kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Advertisement

Kita juga sedia maklum bahawa kerajaan telah membelanjakan hampir RM128 bilion untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong sektor perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini. Harapannya agar tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind dalam konteks semasa ini.

Namun perbelanjaan drastik yang dilakukan oleh kerajaan tempoh hari wajar didebatkan di parlimen. Dalam satu sudut ia sangat membantu rakyat yang susah, tetapi ada yang beranggapan ia hanya bersifat populis semata-mata.

Advertisement

Diakui, norma baharu sememangnya suatu suasana dan polemik ekonomi yang sukar untuk dijangkakan.

Menurut Khazanah Research Institute, pandemik COVID-19 bukan sahaja menyebabkan krisis kepada kesihatan awam, malah kepada ekonomi dan pasaran buruh keseluruhannya.

Keadaan ini menambah beban dan cabaran kepada golongan pekerja, majikan dan kerajaan. Tambahan lagi dalam suasana begini ekonomi tumbuh perlahan dan membimbangkan.

Advertisement

Banyak syarikat perniagaan kehilangan pendapatan dan ramai kehilangan pekerjaan. Majlis Peguam serta persatuan-persatuan perniagaan juga menggesa beberapa akta dipinda atau undang-undang baharu digubal bagi menangani masalah ini supaya ekonomi dapat berjalan dengan baik.

Masalah ekonomi yang terkesan dengan wabak ini perlu dibincangkan secara tuntas di Parlimen bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang memenangkan semua pihak dalam ekosistem ekonomi.

Parlimen merupakan institusi penting dalam pembuatan dasar dan undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.

Advertisement

Institusi ini juga meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.

Bagi membolehkan Parlimen menjalankan tanggungjawab dan peranannya dengan lebih berkesan, persidangan perlu disegerakan.

Di negara seperti Czech Republic, New Zealand dan United Kingdom, parlimennya berperanan dalam menangani masalah ekonomi di musim pandemik.

Advertisement

Contoh terdekat, parlimen Singapura. Mereka berjaya meluluskan belanjawan tambahan pada 26 Mac lalu bagi menyediakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah sekitar $48 bilion. Tujuannya untuk memelihara kebajikan rakyat dan mengukuhkan kadar ekonomi negara itu.

 Gesaan Sidang Parlimen Diadakan

Memetik respon Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertarikh 25 April 2020 tempoh hari, Takiyuddin Hassan membalas desakan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Advertisement

Beliau berkata – “Kerajaan mengambil maklum tentang pandangan dan cadangan yang disuarakan mengenai mengadakan sidang parlimen, namun percaya ia bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami susunan keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan dan negara.”

Jelas sikap acuh tak acuh kerajaan bagi menangani masalah ini. Adapun sidang parlimen yang akan diadakan 18 Mei nanti, hanyalah berlangsung satu hari sahaja.

Selepas pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai pembukaan sektor ekonomi bermula 4 Mei 2020 nanti, wajar untuk memanjangkan tempoh sidang parlimen.

Advertisement

Namun ia harus mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan MKN semasa sidang Parlimen berlangsung.

Menurut Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, keputusan COVID-19 boleh diberikan dalam lebih kurang dari 48 jam.

Jikalau kesemua MP negatif ujiannya, tiada alasan dan halangan untuk menjalankan sidang lebih dari sehari.

Advertisement

Kalau ada yg positif sekalipun, mereka akan dikecualikan dari sidang dan sesegera mungkin dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Polisi perlu mengalami proses semak dan imbang. Sesi soal jawab antara ahli parlimen yang bersidang pasti mengujakan.

Isu rakyat hilang pekerjaan, kesihatan fizikal dan mental, masalah pertumbuhan ekonomi dan pembentukan polisi-polisi yang mesra rakyat versi norma baharu mesti difokus dan diutamakan.

Advertisement

Saya percaya bahawa gesaan ini haruslah diambil serius oleh pihak berwajib. Proses semak dan imbang di Parlimen khususnya soal perbelanjaan negara diurus dengan telus dan hal kesihatan perlu diutamakan.

Pesan Fakhrurazzi Rashid, penyelidik di REFSA Institute, “tidak adil sekiranya Parlimen tidak dilibatkan secara langsung untuk membincangkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh ketika berhadapan dengan COVID-19”

Parlimen harus bersidang. Sehari tidak mungkin, ia memerlukan tempoh yang munasabah dan praktikal demi menjaga kesejahteraan rakyat kelak.

Advertisement

Luthfi Yusri dan Nazurah Mansor merupakan aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia. Mereka sedang menuntut di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top